KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan melaksanakan Model Kewangan Baharu (New Financial Model) bagi mengurangkan kebergantungan terhadap hasil tradisional seperti cukai pintu, lesen dan sewaan, sekali gus memperkukuh kedudukan kewangan bandar raya.
Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, model itu dibangunkan bagi memastikan DBKK mempunyai sumber pendapatan yang lebih mampan selaras dengan keperluan pengurusan bandar raya moden.
Katanya, pelaksanaan model berkenaan akan diperkasakan melalui pembangunan Smart City yang memanfaatkan teknologi digital, kecerdasan buatan (AI) dan data bagi meningkatkan kecekapan operasi selain mewujudkan sumber hasil baharu.
“Kalau kita mahu mengurus bandar raya dalam abad ke-21, kita tidak boleh lagi menggunakan model kewangan abad ke-20.
“Kita perlu memperkenalkan model kewangan baharu supaya DBKK tidak terlalu bergantung kepada kutipan cukai pintu, lesen dan sewaan,” katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan Karnival KK Greenovation 2026, di sini, hari ini.
Sabin berkata, antara inisiatif utama yang akan dilaksanakan ialah pemasangan lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) berteknologi AI yang dihubungkan dengan Pusat Kawalan (Command Centre).
Menurutnya, sistem itu mampu meningkatkan pemantauan bandar, mempercepatkan tindakan terhadap insiden serta mengurangkan kerugian akibat kecurian kabel dan kerosakan aset awam.
Katanya, pembangunan bandar pintar turut membolehkan DBKK mengurus aliran trafik dengan lebih cekap, memantau kerosakan kemudahan awam secara masa nyata serta meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada warga kota.
Pada masa sama, beliau berkata pembangunan Smart City membuka peluang kepada DBKK menjana sumber pendapatan baharu menerusi pengiklanan digital, perkongsian data dan pemanfaatan data yang dikumpulkan melalui sistem bandar pintar.
Sabin berkata, inisiatif itu turut disokong kira-kira 6,000 ahli KK Smart City Friends yang berperanan sebagai rakan strategik DBKK dalam menyalurkan maklumat serta aduan berkaitan kemudahan awam bagi membolehkan tindakan lebih pantas diambil.
“Pelbagai lagi inisiatif sedang dirangka di bawah Model Kewangan Baharu bagi memastikan DBKK terus berdaya saing, memperkukuh kedudukan kewangan dan menyediakan perkhidmatan yang lebih cekap kepada warga Kota Kinabalu,” katanya.