KOTA KINABALU: Sabah berpotensi muncul sebagai pengeksport tenaga bersih di rantau ASEAN menerusi pembangunan teknologi Ocean Thermal Energy Conversion (OTEC) yang kini menjadi antara fokus baharu kerajaan negeri dalam memperkukuh sektor tenaga boleh diperbaharui.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, Sabah memiliki kira-kira 70 hingga 75 peratus tenaga laut atau OTEC, sekali gus meletakkan negeri ini pada kedudukan strategik untuk membangunkan sumber tenaga berasaskan lautan.
Beliau berkata, kerajaan negeri kini sedang merancang pembangunan teknologi itu sebagai sebahagian daripada usaha memperluaskan sumber tenaga bersih, selain memenuhi permintaan tenaga domestik dan pasaran serantau.
“Sabah mempunyai potensi OTEC yang sangat besar. Jadi apa yang kita laksanakan apada ketika ini adalah melalui sekretariat SMJ, pegawai kita telah mengadakan lawatan ke beberapa negara terutama Jepun yang telah memulakan penjanaan melalui lautan ini atau OTEC.
“InsyaAllah, kalau semua berjalan dengan lancar, kita akan laksanakan program OTEC ini di perairan Sabah ,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Dewan Undangan (ADUN) Sook, Datuk Seri Arthur Kurup pada Persidangan DUN ke-17, di sini, pada Isnin.
Menurut Hajiji, pembangunan OTEC selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya yang memberi penekanan kepada pembangunan ekonomi mampan melalui penerokaan sumber tenaga hijau.
Beliau berkata, teknologi berkenaan mampu memanfaatkan perbezaan suhu antara permukaan dan dasar laut untuk menjana tenaga elektrik secara berterusan tanpa bergantung kepada bahan api fosil.
Dalam pada itu, Hajiji berkata, kerajaan negeri turut merangka pelan menyeluruh bagi memperluaskan liputan bekalan elektrik ke kawasan pedalaman, bukan sahaja bagi memenuhi keperluan penduduk luar bandar, malah menyokong pertumbuhan sektor perindustrian serta pembangunan ekonomi negeri.
Menurutnya, usaha itu akan dilaksanakan seiring dengan projek pembinaan talian elektrik oleh Kerajaan Persekutuan bagi memastikan setiap kampung dan kediaman di Sabah mendapat akses kepada bekalan elektrik yang stabil.
“Selain peruntukkan daripada Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri juga melihat bahawa perlunya bekalan elektrik ini disampaikan kepada setiap kampung atau rumah rakyat kita di negeri Sabah,” ujarnya.