Warga asing ditahan, syabu 6.80 gram dirampas dalam Op Tapis

LAHAD DATU: Seorang lelaki warga asing ditahan selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu dalam serbuan Op Tapis yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu di Kampung Silam Sri Aman, Jalan Silam, semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, suspek berusia 30 tahun itu ditahan kira-kira jam 12.50 tengah hari selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan di bawah sebuah rumah tidak bernombor.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas suspek membawa kepada penemuan 29 paket plastik lutsinar mengandungi ketulan hablur jernih disyaki syabu seberat 6.80 gram yang dianggarkan bernilai RM680.

“Turut dirampas ialah lapan gulung kertas timah yang dipercayai digunakan untuk aktiviti penyalahgunaan dadah.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana memasukkan dadah berbahaya ke dalam badan.

Katanya, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti rangkaian pengedaran serta punca bekalan dadah terbabit.

Dzulbaharin menegaskan polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah dadah diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Lahad Datu di talian 089-881222 atau 999. Identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya.