UMS jadi tuan rumah Muzakarah Cendekiawan Syariah Nusantara 2026

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus mengukuhkan peranannya dalam pembangunan ilmu dan kewangan Islam apabila dipilih sebagai rakan penganjur Muzakarah Cendekiawan Syariah Nusantara (MCSN) 2026 bersama INCEIF University.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, pemilihan Sabah sebagai lokasi penganjuran mencerminkan pengiktirafan terhadap keupayaan UMS dalam menganjurkan platform wacana ilmiah yang menghimpunkan pakar-pakar Syariah dan kewangan Islam di rantau Nusantara.

Menurutnya, kerjasama strategik antara UMS dan INCEIF University melalui ISRA Institute membuktikan komitmen kedua-dua institusi dalam memperkukuh pembangunan ilmu, penyelidikan serta memperluaskan jaringan kerjasama yang memberi manfaat kepada negara dan ummah.

“UMS bersedia memainkan peranan lebih besar dalam menyokong pembangunan ekosistem kewangan Islam, khususnya di Sabah melalui penyelidikan, pembangunan bakat dan kerjasama strategik bersama pelbagai pihak,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena perasmian program tersebut.

Majlis perasmian MCSN 2026 disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan.

Turut hadir Mufti Negeri Sabah, Datuk Dr. Ustaz Bungsu @ Aziz Jaafar; Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah, Datuk Syeikh Zakaria Othman; serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INCEIF University, Profesor Emeritus Datuk Dr. Mohd Azmi Omar.

Kasim berkata, penubuhan Fakulti Pengajian Islam UMS serta Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) turut memperkukuh usaha universiti dalam melahirkan graduan dan penyelidik yang mampu menyumbang kepada pembangunan industri kewangan Islam negara.

Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan kewangan Islam perlu disokong melalui peningkatan literasi kewangan bagi melahirkan lebih ramai bakat tempatan, memperkasa komuniti dan meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi masyarakat.

“UMS berharap MCSN 2026 menjadi titik permulaan kepada lebih banyak kerjasama strategik yang memberi impak kepada pembangunan Sabah, sekali gus menyokong aspirasi menjadikan negeri ini sebagai salah sebuah pusat kecemerlangan ilmu dan pembangunan kewangan Islam di Borneo,” jelasnyaZ

Program berprestij itu akan menghimpunkan tokoh dan cendekiawan Syariah, mufti-mufti negeri, wakil badan pengawal selia, institusi kewangan Islam, ahli akademik serta penyelidik dari Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam, Singapura dan Thailand bagi membincangkan isu semasa serta hala tuju pembangunan kewangan Islam di peringkat serantau.