Kerajaan tubuh Jawatankuasa Kabinet perkukuh agenda produk tempatan

SANDAKAN: Kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Kabinet Bagi Memperkasa Penggunaan dan Pembelian Produk Tempatan sebagai langkah memperkukuh penyelarasan dasar serta memperhebat usaha meningkatkan penggunaan produk tempatan dalam kalangan rakyat dan pasaran antarabangsa.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, penubuhan jawatankuasa itu dipersetujui Mesyuarat Jemaah Menteri pada 15 Julai lalu selaras dengan usaha memperkasakan inisiatif JOM MALAYSIA yang dilancarkan pada 27 Jun lalu.

Menurutnya, jawatankuasa itu akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, manakala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bertindak sebagai urus setia.

“Objektif penubuhan jawatankuasa ini adalah untuk memperkemas hala tuju dan memperkukuh penyelarasan antara kementerian serta agensi kerajaan dalam memastikan agenda memperkasa promosi, penggunaan dan pembelian produk tempatan dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.

“Ia juga bertujuan meningkatkan nilai jualan domestik dan eksport produk tempatan, sekali gus mengurangkan kebergantungan negara terhadap import,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, penubuhan jawatankuasa itu dijangka memperkukuh pelaksanaan gerakan JOM MALAYSIA yang berteraskan empat agenda utama iaitu menjadikannya sebagai gerakan nasional, mengamalkan pendekatan whole-of-nation, memperluaskan skop kepada produk dan perkhidmatan tempatan serta memperluas pasaran ke peringkat global.

Katanya, pendekatan itu bukan sahaja menggalakkan rakyat menyokong produk tempatan, malah membuka peluang memperkenalkan produk Malaysia kepada pelancong dan pengguna antarabangsa.

“Penubuhan jawatankuasa ini akan dapat memperkemas dasar, hala tuju dan strategi di semua peringkat bagi membina ekosistem yang kondusif untuk menjadikan produk Malaysia sebagai pilihan utama rakyat serta lebih berdaya saing di pasaran domestik dan global,” katanya.

Sementara itu, Festival JOM MALAYSIA yang berlangsung di Kompleks Sukan Sandakan dari 24 hingga 26 Julai menghimpunkan lebih 100 usahawan tempatan, pemain industri dan rakan strategik dalam usaha memperluaskan promosi serta jualan produk tempatan.

Festival berkenaan turut menampilkan pelbagai pengisian termasuk pameran dasar dan program kerajaan, reruai jualan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM), aktiviti hiburan serta sukan rakyat.