200 peniaga kecil Sulaman, Pantai Dalit terima bantuan RM3,000

TUARAN: Seramai 200 peniaga kecil di kawasan Sulaman dan Pantai Dalit menerima bantuan sebanyak RM3,000 seorang, hari ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, bantuan tunai itu adalah inisiatif beliau menerusi Sentuhan Kasih bagi membantu meringankan beban serta memperkukuh usaha mereka meneruskan perniagaan.

“Saya berharap dengan bantuan yang sedikit begitu dapat meringankan bebanan mereka, menambah usaha mereka untuk berniaga secara kecil-kecilan di tepi-tepi jalan atau warung-warung, di kampung mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi DUN Sulaman dan DUN Pantai Dait Sesi 2026-2030 dan Penyerahan Bantuan kepada Peniaga dan Penjaja Tepi Jalan di Dewan Sri Sulaman, hari ini.

Menurutnya, bantuan berkenaan diharap dapat membantu penerima menambah modal serta meningkatkan usaha perniagaan masing-masing.

Katanya, perhatian terhadap golongan peniaga kecil merupakan sebahagian daripada agenda kesejahteraan rakyat yang perlu diberikan fokus berterusan.

“Bagi saya, kita kena bantu peniaga ini kerana ia termasuk dalam hala tuju kita, iaitu kesejahteraan rakyat.

“Jadi saya perlu memberi fokus kepada agenda ini untuk membantu mereka,” jelasnya.

Dalam majlis sama, watikah pelantikan turut disampaikan kepada pengerusi-pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi kawasan Sulaman dan Pantai Dalit.

Beliau berharap pengerusi-pengerusi dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik sebagai penghubung antara rakyat di peringkat akar umbi dengan kerajaan.

“Kita mahu mereka lebih proaktif untuk memastikan kemajuan dan perpaduan di kampung berada dalam keadaan yang baik,” ujarnya.

Kata beliau, peranan JKKK amat penting dalam membantu kerajaan memastikan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat dapat dilaksanakan secara berkesan di peringkat kampung.