14 penjaja tanpa lesen dikenakan tindakan DBKK

KOTA KINABALU: Seramai 14 penjaja yang menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen sah dikenakan tindakan dalam operasi bersepadu Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) di kawasan tempat letak kereta berhampiran Pasar Besar Kota Kinabalu, pada 1 dan 2 Ogos lalu.

Operasi yang bermula kira-kira jam 10 malam itu dijalankan bagi meningkatkan tahap pematuhan terhadap peraturan serta Undang-Undang Kecil (UUK) yang berkuat kuasa di sekitar bandar raya.

Menurut kenyataan DBKK hari ini, operasi berkenaan membabitkan 43 anggota daripada Jabatan Pelesenan dan Jabatan Penguatkuasaan DBKK.

“Hasil pemeriksaan selama dua hari mendapati seramai 14 penjaja menjalankan aktiviti menjaja tanpa lesen yang sah, khususnya di kawasan yang tertakluk di bawah UUK Penjaja 1966.

“Daripada jumlah itu, sembilan penjaja telah ditawarkan kompaun di bawah UUK Penjaja 3(11) kerana menjalankan aktiviti menjaja tanpa lesen yang sah,” katanya.

Dalam operasi sama, DBKK turut menyita beberapa peralatan yang digunakan untuk menjalankan aktiviti penjajaan tanpa lesen.

Selain itu, empat kenderaan yang digunakan bagi menjalankan aktiviti berkenaan turut disita.

DBKK menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap aktiviti penjajaan tanpa lesen, khususnya di kawasan awam yang tertakluk kepada peraturan dan undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan.

Menurutnya, operasi penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan dan undang-undang kecil di sekitar bandar raya terus dipertingkatkan.

“Langkah ini bukan sahaja bertujuan memastikan aktiviti penjajaan dijalankan secara sah, malah membantu menjaga ketertiban, kebersihan dan keselesaan orang awam di kawasan tumpuan seperti sekitar Pasar Besar Kota Kinabalu,” katanya.