APMM dekati masyarakat menerusi inisiatif Kembara Merdeka Jalur Gemilang

SEMPORNA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan memperkenalkan pelbagai inisiatif baharu menerusi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2026 bagi mendekati masyarakat di luar bidang penguatkuasaan.

Laksamana Pertama Maritim, Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, pendekatan berkenaan merupakan usaha APMM untuk menyampaikan mesej patriotisme serta mendekatkan agensi itu dengan komuniti di seluruh Sabah.

Katanya, antara inisiatif diperkenalkan ialah Kotak Kembara Cilik di Nabawan, Pek Kembara Cilik dan Kotak Kembara Sejahtera di Kalabakan, serta pelancaran Beg Kembara Sejahtera dan pin bertemakan “Malaysia Tanah Airku, Saya Sayang Sabah” di Semporna.

“Pek Kembara Sejahtera akan diperkenalkan di Paitan kelak dan diteruskan agihan di lokasi-lokasi persinggahan kembara seterusnya.

“Ini merupakan usaha APMM menyemarakkan cinta akan negara dan menanam semangat patriotisme dalam kalangan komuniti sejahtera di negeri Sabah,” katanya.

Khairulanuar (tengah) mengibarkan jalur gemilang dan bendera Sabah bersama peserta-peserta di program berkenaan.

Beliau berkata, inisiatif berkenaan selaras dengan tema Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati, selain memperluas peranan APMM dalam mendekati masyarakat di kawasan pedalaman dan luar bandar.

Menurutnya, mesej APMM mengenai kepentingan mempertahankan kedaulatan negara perlu disampaikan kepada masyarakat secara lebih meluas dan tidak hanya tertumpu kepada kawasan perairan.

“Maritim Negeri Sabah dan W.P. Labuan akan terus menyebarkan mesej APMM mempertahankan kedaulatan negara bukan sahaja di perairan negeri, malah ke seluruh pelosok negeri Sabah,” katanya.