Kadar pengangguran Sabah turun kepada 5.5 peratus, 71,821 penempatan kerja direkodkan

KOTA KINABALU: Kadar pengangguran di Sabah menurun kepada 5.5 peratus pada suku pertama 2026, dengan sebanyak 71,821 penempatan pekerjaan berjaya direkodkan menerusi usaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi tempoh 2020 hingga 24 Julai 2026.

Timbalan Ketua Menteri Sabah II, Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun berkata, kadar itu menyusut berbanding enam peratus pada suku keempat 2025, sekali gus mencatatkan antara penurunan paling ketara berbanding negeri lain di Malaysia.

Katanya, perkembangan positif itu mencerminkan keberhasilan rangkaian dasar dan usaha Kerajaan Negeri dengan kerjasama agensi di peringkat Persekutuan dalam memperkukuh pasaran buruh Sabah.

“Menerusi usaha KESUMA dan PERKESO, sebanyak 71,821 penempatan pekerjaan telah berjaya direkodkan di Sabah bagi tempoh 2020 hingga 24 Julai 2026.

“Ini sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam membantu rakyat Sabah memperoleh pekerjaan dan meningkatkan kesejahteraan ekonomi mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Kerjaya MYFutureJobs X Oil & Gas @ Kota Kinabalu 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Turut hadir, Menter Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk James Ratib serta Naib Presiden Kanan, Pengurusan Petroleum Malaysia, PETRONAS, Datuk (Dr) Bacho Pilong.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, karnival kerjaya itu merupakan antara inisiatif strategik yang mampu membantu menangani kadar pengangguran di Sabah, selain membuka lebih banyak peluang kepada rakyat tempatan.

Katanya, pembangunan ekonomi perlu bergerak seiring dengan pembangunan modal insan supaya setiap pelaburan menerusi agenda Sabah Maju Jaya memberi manfaat kepada rakyat melalui peluang pekerjaan, peningkatan kemahiran dan taraf hidup.

“Sabah mempunyai kelebihan strategik sebagai antara hab utama industri minyak dan gas negara.

“Permintaan terhadap tenaga kerja mahir dijangka terus meningkat, apatah lagi dengan pelbagai projek tenaga yang sedang dan akan dilaksanakan di sini,” jelasnya.

Masidi berkata, pembangunan modal insan perlu bergerak seiring dengan pertumbuhan industri bagi memastikan peluang ekonomi yang diwujudkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh anak-anak Sabah.

Sementara itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, karnival kerjaya berkenaan bukan sekadar platform menawarkan pekerjaan, malah menjadi medan menghubungkan bakat tempatan dengan keperluan sebenar industri.

Katanya, bagi tempoh Januari hingga 24 Julai 2026, lebih 327 karnival dan program kerjaya telah dianjurkan di Sabah dengan kehadiran lebih 11,000 pencari kerja.

“Menerusi platform perkhidmatan pekerjaan nasional MYFutureJobs, lebih 95,000 kekosongan jawatan ditawarkan dengan jumlah majikan di Sabah yang mendaftar dengan portal ini mencecah 15,000.

“Ini menunjukkan terdapat permintaan pekerjaan yang besar dan kita perlu memastikan bakat tempatan mempunyai kemahiran yang bersesuaian dengan keperluan industri,” tambah beliau.

Khairul Firdaus berkata, KESUMA turut melaksanakan anjakan paradigma dalam memperkukuh dan memperkasa pasaran buruh Sabah menerusi Sabah Talent Development Centre (STDC).

Katanya, STDC berperanan sebagai platform strategik yang mengintegrasikan pembangunan bakat selari dengan keperluan industri serta maklumat pasaran buruh, khususnya dalam aspek peningkatan kemahiran dan kebolehpasaran tenaga kerja.

Beliau berkata, kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan Negeri Sabah, industri, institusi pendidikan serta penyedia latihan akan terus diperkukuh bagi memastikan bakat tempatan lebih responsif, kompetitif dan selari dengan keperluan pekerjaan masa hadapan.

Karnival Kerjaya MYFutureJobs X Oil & Gas @ Kota Kinabalu 2026 yang berlangsung selama dua hari di SICC itu menghimpunkan 30 majikan daripada industri minyak dan gas serta sektor berkaitan.

“Ia menawarkan lebih 3,000 peluang pekerjaan dengan gaji sehingga RM12,000 sebulan kepada graduan, pencari kerja dan bakat tempatan,” ujar beliau.

Karnival sama akan diteruskan di Sarawak bertempat di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada 17 hingga 18 Oktober 2026 dalam usaha memperluas akses kepada peluang kerjaya industri minyak dan gas di wilayah Borneo.

Pencari kerja boleh melayari portal MYFutureJobs www.myfuturejobs.gov.my untuk mendapatkan maklumat lanjut serta mengemukakan permohonan bagi peluang pekerjaan yang ditawarkan.