KOTA KINABALU: Perkhidmatan komuter yang menghubungkan Stesen Kinarut dan Stesen Sembulan dijangka mula dilaksanakan Oktober ini, dengan enam perhentian baharu disediakan bagi memperluas akses pengangkutan awam kepada rakyat di sepanjang laluan berkenaan.
Timbalan Ketua Menteri III Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, pelaksanaan perkhidmatan itu merupakan langkah penting dalam menjadikan perkhidmatan kereta api lebih mudah diakses, praktikal dan dekat dengan rakyat.
Katanya, enam perhentian yang telah siap dibina akan memainkan peranan penting dalam memperluas akses masyarakat kepada perkhidmatan kereta api, khususnya mereka yang menggunakan pengangkutan awam untuk bergerak dari kawasan kediaman ke pusat bandar.
“Penyediaan perhentian-perhentian ini akan memberikan lebih banyak pilihan dan kemudahan kepada masyarakat kerana mereka tidak lagi perlu bergantung sepenuhnya kepada stesen utama untuk menggunakan perkhidmatan kereta api.
“Sebaliknya, pengguna boleh mendapatkan akses melalui perhentian yang lebih dekat dengan kawasan kediaman masing-masing sebelum meneruskan perjalanan ke pusat bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Hari Kereta Api Ke-130 Jabatan Kereta Api Negeri Sabah di Stesen Tanjung Aru, di sini, hari ini.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET) berkata, pelaksanaan perkhidmatan komuter itu selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri untuk memperkukuh sistem pengangkutan awam yang lebih bersepadu, cekap dan mesra rakyat.
Tambah beliau, pembangunan sektor pengangkutan bukan sahaja penting bagi memudahkan pergerakan rakyat, malah mempunyai hubungan langsung dengan pembangunan ekonomi, pertumbuhan kawasan bandar, aktiviti perniagaan dan kesejahteraan masyarakat.
“Seiring dengan perubahan zaman, pertumbuhan kawasan bandar serta keperluan mobiliti rakyat yang semakin meningkat, Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk memastikan perkhidmatan kereta api di Sabah terus diperkasakan dan dimodenkan supaya kekal relevan, cekap, selamat serta mampu memenuhi keperluan rakyat,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ewon berkata, sambutan Hari Kereta Api Ke-130 bukan sekadar memperingati sejarah perkhidmatan kereta api di Sabah sejak 1896, tetapi turut menjadi ruang untuk melihat semula peranan perkhidmatan berkenaan dalam pembangunan negeri.
Katanya, tempoh 130 tahun membuktikan ketahanan dan kesinambungan perkhidmatan kereta api sebagai salah satu komponen penting dalam sistem pengangkutan awam Sabah.
“Sebagai kementerian yang bertanggungjawab terhadap sektor pengangkutan di negeri ini, MINDET akan terus memberikan perhatian kepada usaha memperkasakan sistem pengangkutan awam Sabah.
“Kita mahu perkhidmatan kereta api bukan sahaja dikenang sebagai sebahagian daripada sejarah pembangunan Sabah selama 130 tahun, tetapi terus memainkan peranan penting dalam sistem pengangkutan awam dan pembangunan negeri pada masa hadapan,”