Pijak pedal minyak ketika mengundur, warga emas didenda RM10,000

TAWAU: Seorang lelaki warga emas didenda RM10,000 selepas mengaku bersalah memandu tanpa kecermatan sehingga kenderaannya melanggar sebuah farmasi dan sebuah MPV, bulan lalu.

Chin Soon Sang, 60, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum di Mahkamah Majistret Tawau, hari ini.

Mahkamah turut memerintahkan lesen memandu tertuduh diendors dengan butiran kesalahan terbabit.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pemandu kenderaan didakwa memandu tanpa kecermatan dan perhatian yang sepatutnya di Lorong Bintang Shophouse 8, Batu 3 Jalan Apas, di sini, pada kira-kira jam 3.30 petang, 29 September lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), yang memperuntukkan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM10,000 serta boleh dipenjarakan sehingga 12 bulan dan lesen memandu boleh diendors dengan sabitan kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh memandu Perodua Myvi dari sebuah klinik di Batu 3 Jalan Apas untuk pulang ke rumahnya di Taman Sri Impian sebelum kejadian.

Ketika hendak mengundurkan kenderaan, tertuduh dikatakan terpijak pedal minyak dengan kuat menyebabkan Myvi berkenaan bergerak ke hadapan sebelum melanggar sebuah premis farmasi.

Selepas pelanggaran pertama itu, tertuduh cuba mengundurkan semula kenderaan berkenaan sebelum melanggar sebuah Toyota Innova yang diletakkan di sebelah Myvi.

Tertuduh kemudian sekali lagi memasukkan gear dan menekan pedal minyak dengan kuat menyebabkan Myvi bergerak ke hadapan lalu melanggar premis farmasi serta Toyota Innova berkenaan berulang kali sehingga kenderaan itu berhenti dan tidak dapat bergerak.

Akibat kejadian itu, kedai farmasi terbabit mengalami kerosakan pada cermin hadapan premis dengan kerugian dianggarkan RM20,000.

Toyota Innova pula mengalami kerosakan pada bahagian hadapan termasuk bampar, bonet, fender hadapan kiri dan kanan, lampu besar hadapan kiri, radiator serta kondenser pendingin hawa.

Hasil siasatan mendapati kemalangan itu berpunca daripada kecuaian tertuduh yang memandu kenderaan berkenaan tanpa kecermatan dan perhatian sepenuhnya.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Asisten Superintendan Joan Lee manakala tertuduh tidak diwakili peguam.