TAWAU: Seorang gadis berusia 19 tahun direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menawarkan perkhidmatan seks menerusi aplikasi WhatsApp.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Don Stiwin Malanjum di Mahkamah Majistret Tawau hari ini bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut terhadap suspek.
Berdasarkan keterangan kes yang dikemukakan, suspek dipercayai menawarkan perkhidmatan itu dengan bayaran RM150 bagi setiap kali perkhidmatan.
Suspek kemudian ditahan dalam operasi polis di sebuah bilik sewa di Flat Sabindo, Jalan Habib Sheikh, Bandar Sabindo, di sini, kira-kira 9.30 malam semalam.
Sebelum serbuan, seorang anggota polis yang bertindak sebagai ejen penyamaran dilaporkan berhubung dengan suspek menerusi aplikasi WhatsApp untuk membuat urusan berkaitan perkhidmatan berkenaan.
Hasil pemeriksaan di lokasi, polis merampas dua keping kondom, wang tunai RM150 dan sebatang anak kunci selain suspek turut mengaku menjalankan aktiviti berkenaan dengan bayaran RM150.
Suspek disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan, iaitu berkaitan perbuatan mengiklan atau menawarkan diri untuk tujuan persundalan.