Rumah setinggan atas air terbakar di Kampung Numbak

KOTA KINABALU: Rumah setinggan atas air di Kampung Numbak, di sini, terbakar dalam kejadian awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Mohd Hannis Moktar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 pada jam 1.40 pagi.

Menurutnya, jentera bomba tiba di lokasi pada jam 1.58 pagi, kira-kira 18 kilometer dari BBP Kota Kinabalu.

“Komander operasi melaporkan kebakaran membabitkan rumah setinggan atas air.

“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran dengan empat pancutan sepanjang 1,000 kaki, manakala sumber air diperoleh daripada jentera bomba,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, seramai 39 anggota dari BBP Kota Kinabalu, BBP Lintas dan BBP Penampang terbabit dalam operasi berkenaan.

Katanya, operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan.

“Operasi pemadaman masih giat dijalankan dan maklumat terkini akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

“Setakat ini, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian,” katanya.