‘Jestie Alexius bukan pegawai atau kakitangan kami’ – PHEDNP

KOTA KINABALU: Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan (PHEDNP) menafikan individu dikenali sebagai Jestie Alexius merupakan pegawai atau kakitangan pejabat berkenaan.

PHEDNP dalam kenyataannya menegaskan, Jestie bukan pegawai atau kakitangan PHEDNP dan tidak pernah dilantik, diambil bekerja atau diberi kuasa untuk mewakili pejabat itu dalam apa-apa urusan rasmi.

Menurut kenyataan itu, penafian berkenaan dibuat susulan penyebaran satu hantaran di media sosial yang memaparkan Jestie dan didakwa memberi gambaran bahawa individu terbabit merupakan sebahagian daripada warga kerja PHEDNP.

“PHEDNP menafikan sekeras-kerasnya apa-apa dakwaan bahawa individu berkenaan merupakan pegawai atau kakitangan PHEDNP.

“Apa-apa penggunaan nama, jawatan, identiti, logo atau pengenalan PHEDNP oleh individu yang tidak diberi kuasa adalah tidak mewakili PHEDNP dan tidak boleh dianggap sebagai suatu urusan atau tindakan rasmi pejabat ini,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, PHEDNP menasihatkan orang awam supaya tidak mempercayai, berurusan atau memberikan sebarang maklumat mahupun dokumen kepada Jestie atas kapasiti yang didakwa sebagai pegawai atau kakitangan PHEDNP.

Dalam pada itu, PHEDNP turut meminta semua pihak supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat yang tidak disahkan berkaitan perkara berkenaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang penyamaran atau penyalahgunaan nama dan identiti PHEDNP diminta menyalurkannya kepada pejabat berkenaan untuk tindakan lanjut.

“Maklumat boleh disalurkan melalui WhatsApp di talian +6088-369403 atau e-mel phendp@sabah.gov.my,” katanya.