KOTA KINABALU: Datuk Seri Dr Sabin Samitah yang juga Mayor Bandaraya Kota Kinabalu dilantik sebagai anggota baharu Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) mewakili Sabah, berkuat kuasa 1 September lalu.
HASiL dalam kenyataan hari ini memaklumkan, Penggubal Undang-Undang Parlimen di Bahagian Gubalan, Jabatan Peguam Negara, Farahana Rabidin turut dilantik sebagai anggota baharu Lembaga HASiL mewakili Peguam Negara.
Dalam perkembangan sama, Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak, Datuk Seri Dr Wan Lizozman Wan Omar dilantik semula sebagai anggota Lembaga HASiL mewakili Sarawak bagi tempoh dua tahun, bermula 1 Ogos 2026 hingga 31 Julai 2028.
Sabin sebelum ini pernah menerajui HASiL sebagai Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri.
Beliau kemudiannya berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), sebelum dilantik sebagai Mayor Bandaraya Kota Kinabalu.
Menurut HASiL, pengalaman luas Sabin dalam bidang percukaian, pencegahan jenayah kewangan dan pentadbiran awam diyakini mampu menyumbang kepada pengukuhan hala tuju serta tadbir urus agensi berkenaan.
Sementara itu, Farahana mempunyai pengalaman luas dalam bidang perundangan, khususnya penggubalan undang-undang, selain turut berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
“Pengalaman dan kepakaran beliau dalam bidang perundangan diyakini dapat menyumbang kepada pengukuhan aspek tadbir urus serta pertimbangan berkaitan dasar dan perundangan dalam pelaksanaan tanggungjawab HASiL,” menurut kenyataan itu.
HASiL turut mengalu-alukan pelantikan Sabin dan Farahana serta pelantikan semula Wan Lizozman.