Kerajaan Sabah cari solusi atasi masa menunggu pesakit

TAWAU: Kerajaan Sabah terus memberi perhatian terhadap isu masa menunggu pesakit yang panjang di hospital, khususnya membabitkan fasiliti kesihatan di daerah dan kawasan luar bandar.

Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Haji Jainal, berkata isu berkenaan bukan hanya berlaku di Hospital Daerah Tawau, malah turut dihadapi hospital di bandar besar termasuk Kota Kinabalu.

Katanya, peningkatan jumlah pesakit, kesesakan serta kekurangan kakitangan antara cabaran yang perlu ditangani bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat terus berjalan lancar.

“Benda ini sudah pun saya bincangkan di peringkat Hospital Daerah Tawau. Sebenarnya isu ini bukan hanya di peringkat daerah Tawau, malah di mana-mana lagi, terutama di bandar besar seperti Kota Kinabalu sendiri mempunyai masalah yang sangat serius.

“Ini memang isu yang kita cuba mendapatkan solusi yang lebih baik walaupun dalam jangka masa yang pendek,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Jiwa@Komuniti Madani Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia peringkat DUN Kukusan di sini, hari ini.

Rina berkata, pihak pentadbiran dan pengurusan hospital sudah melaksanakan beberapa perubahan serta penambahbaikan sistem bagi memastikan pengurusan pesakit lebih tersusun dan seragam.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan setiap pesakit yang hadir untuk mendapatkan rawatan diberi perhatian dan tidak tercicir daripada menerima perkhidmatan.

“Daripada peringkat pentadbiran pengurusan sendiri ada banyak sistem yang telah direform dan telah diubah untuk memastikan, untuk menyeragamkan.

“Setakat ini tidak ada lagi laporan bahawa pesakit-pesakit ini tidak dilayani, tidak di-entertain, tidak di-report,” katanya.

Dalam pada itu, Rina mengakui isu pesakit terpaksa menunggu dalam keadaan sesak susulan kekurangan kakitangan masih menjadi kebimbangan pihak kementerian.

Bagaimanapun, katanya, keadaan berkenaan masih dapat ditangani menerusi sistem pengurusan yang sedang diperkemas.

“Walaupun isu ini telah menjadi satu kebimbangan kita daripada segi yang menunggu dengan sangat sibuk sebab kekurangan kakitangan, bagaimanapun isu ini masih dapat ditangani.

“Belum ada lagi laporan bahawa pesakit-pesakit ini tidak dapat di-entertain dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, kementerian akan terus memantau perkara itu dan berusaha memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan, terutama kepada masyarakat di daerah serta kawasan luar bandar.

Katanya, penambahbaikan sistem pengurusan perlu dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan kekangan tenaga kerja dan peningkatan jumlah pesakit tidak menjejaskan akses rakyat kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti.