Dua sekolah di Sabah bernilai hampir RM104 juta siap

KOTA KINABALU: Dua projek pembangunan pendidikan bernilai keseluruhan RM103.98 juta membabitkan Sekolah Menengah Sains Sabah (SMESH) dan Sekolah Kebangsaan (SK) Buit Hill kini siap dan diserahkan untuk manfaat warga sekolah.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, projek pembangunan SMESH bernilai RM76.20 juta itu mula dilaksanakan pada Julai 2021, manakala projek naik taraf SK Buit Hill bernilai RM27.78 juta bermula pada Disember 2022.

Menurutnya, kedua-dua projek berkenaan penting dalam menyediakan kemudahan pendidikan lebih baik selain mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif kepada murid.

“SMESH bukan sahaja memberi tumpuan kepada pencapaian akademik, malah menyediakan kemudahan yang menyokong aktiviti sukan, seni dan bidang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Dua Buah Sekolah, di sini hari ini.

Fadhlina berkata, projek naik taraf SK Buit Hill turut membawa perubahan besar apabila sekolah berkenaan ditransformasikan daripada sekolah daif kepada institusi pendidikan yang mempunyai kemudahan lebih baik dan selesa.

Katanya, kerajaan akan terus memberi perhatian terhadap usaha menaik taraf sekolah daif di Sabah termasuk projek yang sedang dilaksanakan dan dalam perancangan.

“Progres berjalan dengan baik. Ada yang sudah selesai, ada yang dalam pelaksanaan dan perancangan.

“Kita akan pastikan tumpuan terus diberikan untuk memastikan sekolah-sekolah daif dapat dibaiki secepat mungkin demi manfaat anak-anak kita,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) atas kerjasama dalam menjayakan kedua-dua projek berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Fadhlina berkata, elemen Citra Sabah turut dipersetujui untuk dimasukkan dalam kurikulum baharu bagi murid Tahun Satu dan pelajar Tingkatan Satu bermula tahun depan.