KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri senada dengan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Sabah yang menggesa Kerajaan Persekutuan mengembalikan Bayaran Insentif Wilayah (BIW) berasaskan peratusan sebagai antara langkah meningkatkan pengambilan dan pengekalan doktor di Sabah.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, isu BIW sebelum ini telah dibangkitkannya kepada Menteri Kesihatan dalam perbincangan serta mesyuarat jawatankuasa berkaitan.
Menurutnya, Kerajaan Negeri turut menyokong gesaan MMA Sabah supaya insentif bagi doktor yang berkhidmat di Sabah dan Sarawak diperkukuhkan, selain bantuan perpindahan ditambah baik.
“Saya sebelum ini telah membangkitkan isu Bayaran Insentif Wilayah (BIW), selain beberapa cadangan lain, kepada Menteri Kesihatan dalam perbincangan kami serta mesyuarat jawatankuasa berkaitan.
“Perkara ini sedang disusuli melalui perbincangan yang berterusan dan kita akan terus berhubung dengan Kerajaan Persekutuan bagi melihat bagaimana cadangan-cadangan ini dapat dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian susulan laporan mengenai pegawai perubatan yang tidak melapor diri bagi penempatan mereka di Sabah.
Julita berkata, walaupun urusan pelantikan dan penempatan pegawai perubatan berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri sentiasa membangkitkan isu kekurangan doktor serta langkah meningkatkan pengambilan dan pengekalan tenaga perubatan di negeri ini.
Menurutnya, Kerajaan Negeri kini memantau rapat perkembangan berkenaan dan akan menunggu keputusan penuh penempatan pegawai perubatan terbaharu sebelum menilai keadaan sebenar.
“Kita akan terus memantau situasi ini dan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi menangani keperluan tenaga kerja kesihatan di Sabah,” katanya.