KOTA KINABALU: Pemilik kenderaan yang ditunda oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) kerana kesalahan parkir boleh memohon bayaran kompaun secara ansuran, terutama bagi kes yang melibatkan jumlah tunggakan tinggi.
Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, permohonan bayaran secara ansuran termasuk rayuan terhadap jumlah kompaun terkumpul yang tinggi boleh dipertimbangkan berdasarkan rekod serta keadaan setiap kes.
Menurutnya, terdapat pemilik kenderaan yang ditunda didapati mempunyai kompaun terdahulu yang masih belum diselesaikan, malah ada kes membabitkan sehingga 200 kompaun dengan nilai terkumpul mencecah RM40,000.
“Pemilik diminta segera menghubungi Jabatan Penguatkuasaan DBKK untuk menguruskan tuntutan kenderaan.
“Permohonan pembayaran secara ansuran dan rayuan jumlah kompaun terkumpul yang tinggi boleh dipertimbangkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sabin berkata, tindakan menunda kenderaan dilaksanakan bagi memastikan jalan raya dan laluan pejalan kaki bebas daripada halangan, selain menjaga keselamatan serta kepentingan awam.
Katanya, antara kawasan yang sering menerima aduan berkaitan parkir berganda dan kenderaan yang menghalang lalu lintas ialah Pasar Besar Kota Kinabalu, Anjung Kinabalu, Sinsuran dan kawasan pasar malam SAFMA.
“Tindakan mengeluarkan kompaun sahaja tidak dapat menyelesaikan halangan dengan segera sekiranya kenderaan ditinggalkan tanpa pemandu,” katanya.
Beliau berkata, sebelum penundaan dilakukan, anggota penguat kuasa akan memberikan amaran melalui siren dan pengumuman supaya kenderaan dialihkan.
“Sekiranya arahan itu tidak dipatuhi, penundaan akan dilaksanakan sebagai langkah terakhir bagi membuka semula laluan kepada pengguna lain,” katanya.
Dalam pada itu, Sabin berkata, kemudahan parkir di pusat bandar secara keseluruhannya adalah mencukupi dengan kira-kira 20,000 petak parkir, termasuk 4,005 petak parkir awam.
Antara kemudahan parkir yang disediakan ialah KK Plaza dengan 452 petak, Menara Jubili (276), The Shore (700), Wisma Merdeka (750), Warisan Square (500) dan Oceanus (800).
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan menggunakan petak parkir yang sah dan merancang perjalanan bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan.
Sabin berkata, keinginan untuk meletakkan kenderaan berhampiran destinasi bukan alasan untuk menghalang laluan atau melanggar peraturan parkir.
Dalam pada itu, beliau juga menjelaskan DBKK tidak pernah melelong kenderaan yang disita akibat kesalahan parkir, meskipun undang-undang kecil berkaitan membenarkannya tertakluk kepada syarat dan prosedur ditetapkan.
“Lelongan setakat ini hanya melibatkan kenderaan buruk yang terbiar dan menjadi buangan bagi menangani masalah kebersihan, keselamatan serta penggunaan ruang awam,” katanya.
Pemilik yang mempunyai pertanyaan berkaitan penundaan, rekod kompaun, permohonan ansuran atau tuntutan kenderaan boleh merujuk terus kepada Jabatan Penguatkuasaan DBKK untuk mendapatkan penjelasan berdasarkan rekod kes masing-masing.
“Penguatkuasaan akan terus dilaksanakan secara profesional, adil dan konsisten demi memastikan Kota Kinabalu kekal teratur, selamat dan selesa untuk semua,” katanya.