KUSKOP salur hampir RM 1 Billion perkukuh ekosistem keusahawanan, koperasi Sabah

KOTA KINABALU : Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) komited memperkukuh ekosistem keusahawanan dan koperasi di Sabah dengan menyalurkan hampir RM1 bilion setakat September 2026.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin, berkata selain pembiayaan, KUSKOP turut memperkukuh infrastruktur perniagaan menerusi pelaksanaan 134 projek Tamu Desa di Sabah bagi menyediakan ruang niaga yang lebih selesa dan kondusif kepada usahawan luar bandar.

“Seramai 45,000 usahawan dan koperasi di Sabah telah menerima dana pembiayaan berjumlah hampir RM1 bilion.

“Ini mencerminkan komitmen berterusan KUSKOP dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan dengan menyediakan akses lebih luas kepada pembiayaan serta pelbagai inisiatif lain.

“Melalui Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (HPM) Edisi Sabah ini, jelas menunjukkan bahawa ekosistem dan suasana keusahawanan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di negeri ini rancak serta mendapat sambutan yang baik.

“Ini juga menunjukkan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam melaksanakan inisiatif pembangunan keusahawanan dan koperasi yang memberi manfaat kepada lebih ramai usahawan, sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Karnival HPM yang berlangsung di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata program yang berlangsung selama tiga hari itu menyaksikan sambutan menggalakkan daripada masyarakat tempatan dan golongan usahawan.

Katanya, karnival berkenaan berjaya menerima kehadiran pengunjung melebihi sasaran awal seramai 50,000 orang menjelang hari terakhir penganjuran.

“Setakat hari kedua Karnival HPM berlangsung, nilai jualan juga dijangkakan melebihi sasaran awal RM300,000 memandangkan kutipan pada hari kedua mencecah RM263,000.

“KUSKOP merekodkan pencapaian luar biasa menerusi penganjuran Karnival HPM Edisi Sabah 2026, sekali gus membuktikan ekosistem keusahawanan PMKS di negeri ini berada pada tahap yang sangat memberangsangkan,” katanya.

Menurutnya, KUSKOP melalui agensi di bawahnya seperti TEKUN Nasional dan Bank Rakyat turut menyediakan pelbagai kemudahan pembiayaan secara langsung di tapak karnival.

“Agensi seperti TEKUN Nasional mengetengahkan inisiatif trak mudah alih atau mobile truck yang menawarkan proses permohonan pembiayaan mikro dengan kelulusan pantas, seawal tiga jam.

“KUSKOP memahami keperluan usahawan yang memerlukan dana modal pusingan dengan cepat bagi meneruskan kelangsungan perniagaan. Oleh itu, sebagai langkah proaktif kerajaan, inisiatif kelulusan pantas disediakan.

“Selain bantuan kewangan, KUSKOP menerusi SME Corp. Malaysia turut menggerakkan pelbagai program bimbingan, latihan dan kursus bagi membantu usahawan mengembangkan perniagaan ke tahap lebih tinggi melalui inisiatif scaling up, iaitu membantu perniagaan beralih daripada peringkat mikro kepada kecil, sederhana dan seterusnya,” katanya.

Mohamad turut memaklumkan bahawa beberapa platform digital, antaranya MyMall, portal rasmi Hebatkan Perniagaan Malaysia dan portal MyAssist MSME, disediakan bagi membolehkan usahawan mendapatkan khidmat nasihat serta bimbingan untuk menceburi pasaran digital dan memperluas jangkauan perniagaan.

Turut hadir, Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick.