KOTA KINABALU: Penganjuran Konsert Malam Amal Lagenda “Senandung Hidup Berbudi” adalah untuk membantu penggiat seni di Sabah.
Pengerusi Persatuan Karyawan Malaysia, Datuk Khatijah Ibrahim berkata, konsert tersebut akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 6 November dan merupakan edisi kedua selepas dua tahun.
“Edisi kali ini menyasarkan seramai 1,500 pengunjung yang akan hadir meskipun sambutan setakat hari ini agak perlahan, kita masih mengharapkan lebih ramai peminat-peminat lagu lama akan hadir.
“Matlamat utama kutipan dana daripada konsert amal tersebut adalah untuk disalurkan kepada penggiat seni tempatan di Sabah tidak kira bidang perfileman, penulisan, nyanyian ataupun belakang tabir,” katanya kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada Selasa.
Menurut beliau, antara tujuan kunjungan adalah untuk menyampaikan jemputan rasmi kepada Tun Musa untuk menghadiri konsert pada malam itu.
Khatijah juga memaklumkan antara artis yang akan turut sama dalam konsert amal tersebut termasuk Datuk Ramli Sarip, Datuk Zainal Abidin serta artis tempatan seperti Velvet, Bella Astilah dan Ayu Damit.
Beliau berharap penganjuran konsert ini bukan sahaja dapat menghiburkan para peminat, malah mampu memperkasakan kebajikan penggiat seni tanah air pada masa akan datang.