KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin, mempersoalkan pembatalan projek pembangunan luar bandar di Sabah dan Sarawak, sambil meminta penjelasan mengapa kedua-dua negeri itu terkesan sedangkan menerima bahagian peruntukan pembangunan lebih kecil berbanding Semenanjung Malaysia.
Beliau meminta Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah(KKDW), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menjelaskan mengapa projek di Sabah dan Sarawak dibatalkan sedangkan projek di Semenanjung Malaysia dilihat kurang terjejas.
“Saya juga agak terkejut apabila isu pembatalan projek di Sabah dan Sarawak dibangkitkan. Mengapa Sabah dan Sarawak sering menjadi mangsa? Mengapa projek di Semenanjung Malaysia tidak dibatalkan?” katanya ketika sesi penggulungan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Dewan Rakyat, semalam.
Willie berkata, Sabah dan Sarawak hanya menerima kira-kira 20 peratus daripada peruntukan pembangunan, berbanding 80 peratus untuk Semenanjung Malaysia.
Dalam pada itu, beliau meminta KKDW memberikan senarai lengkap projek di Sarawak, khususnya di kawasan Parlimen Puncak Borneo, yang telah melalui proses tender bagi mengenal pasti sama ada projek berkenaan turut terlibat dalam pembatalan.
Antara projek yang dibangkitkan ialah projek bekalan air Puncak Borneo Fasa Dua, projek jalan raya Biak Nabir dan projek jalan sambungan bagi Skim Penempatan Semula Bengoh (BRS).
Menurutnya, status projek berkenaan perlu diperjelaskan kerana semuanya telah mencapai peringkat tender.
“Saya amat menghargai sekiranya senarai itu dapat diberikan, walaupun secara bertulis, supaya saya boleh mengetahui sama ada projek-projek ini termasuk dalam senarai yang dibatalkan,” ujarnya.
Beliau turut merayu supaya kementerian memastikan penduduk di kawasan Parlimen Puncak Borneo tidak terpinggir atau terjejas akibat pembatalan projek berkenaan.
“Saya benar-benar berharap dan merayu bagi pihak penduduk Puncak Borneo agar mereka tidak dipinggirkan dan projek mereka tidak dibatalkan,” tambah beliau.
Menjawab perkara itu, Ahmad Zahid menyatakan simpati terhadap Willie dan memberi jaminan bahawa kawasan Puncak Borneo akan diberikan keutamaan tertinggi sekiranya permohonan yang dikemukakan berjaya.
Pada Isnin, Ahmad Zahid mendedahkan di Dewan Rakyat bahawa beberapa projek pembangunan luar bandar yang diluluskan bagi 2026 di Sabah dan Sarawak dibatalkan walaupun peruntukan tersedia.
Beliau berkata, projek berkenaan tidak dapat diteruskan kerana dana masih belum disalurkan, menyebabkan masyarakat luar bandar terus menunggu pelaksanaan pembangunan yang dirancang.