Dakwaan projek jalan luar bandar Sabah, Sarawak dibatalkan tidak berasas, kata Mustapha

KOTA KINABALU: Dakwaan kerajaan membatalkan projek Jalan Luar Bandar (JALB) di Sabah dan Sarawak tidak berasas, sebaliknya penangguhan pengeluaran Surat Setuju Terima (SST) baharu adalah langkah kawalan kewangan bagi mengelakkan tunggakan bayaran kepada kontraktor terus meningkat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, peruntukan JALB di peringkat nasional terus meningkat daripada RM2.11 bilion tahun ini kepada RM2.27 bilion pada 2027.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah berkata, peningkatan itu membuktikan komitmen Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memenuhi keperluan pembangunan luar bandar.

“Penangguhan pengeluaran SST baharu tidak boleh disamakan dengan pembatalan projek pembangunan yang sudah diluluskan.

“Isu sebenar yang perlu diberikan perhatian ialah komitmen kontrak dan perbelanjaan yang melebihi peruntukan tahunan diluluskan sehingga menyebabkan tunggakan serta kelewatan bayaran kepada kontraktor,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mustapha berkata, Kementerian Kewangan turut meluluskan perbelanjaan tambahan RM500 juta pada 2026 bagi membantu menangani tunggakan bayaran kontraktor JALB.

Menurutnya, langkah itu menunjukkan kerajaan tidak mengurangkan pembiayaan, sebaliknya menyediakan peruntukan tambahan bagi memastikan komitmen projek sedia ada dapat ditunaikan.

Katanya, arahan penangguhan SST baharu pada 10 September lalu adalah langkah kawalan kewangan dan bukannya arahan pembatalan menyeluruh projek pembangunan.

“Kerajaan turut meminta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyediakan unjuran keperluan pembiayaan sehingga 2027 berdasarkan kontrak yang sudah dianugerahkan.

“Ini penting bagi memastikan projek sedia ada dapat diteruskan melalui pengurusan kewangan yang lebih teratur, telus dan bertanggungjawab,” katanya.

Dalam pada itu, Mustapha meminta pihak yang mendakwa Sabah dan Sarawak menjadi mangsa pemotongan atau pembatalan projek supaya mengemukakan bukti jelas, termasuk senarai projek, nilai peruntukan dan status pembatalan.

Beliau berkata, komitmen kerajaan terhadap kedua-dua negeri turut dibuktikan menerusi Belanjawan 2027 apabila peruntukan Persekutuan kepada Sabah meningkat daripada RM17.6 bilion kepada RM18.7 bilion, manakala Sarawak daripada RM15.1 bilion kepada RM16.2 bilion.

Malah, katanya, sebanyak RM3.3 bilion turut disediakan bagi projek jalan raya di kedua-dua negeri berkenaan, termasuk pembangunan jaringan jalan strategik.

“Pembangunan Sabah dan Sarawak kekal sebagai pelaburan jangka panjang yang menjadi keutamaan Kerajaan MADANI, khususnya dalam usaha memperbaiki jalan luar bandar, meningkatkan keterhubungan dan merapatkan jurang pembangunan antara wilayah,” katanya.