6,000 liter diesel subsidi disita, lori tangki dirampas

TAWAU: Kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi menggunakan fleet card terbongkar selepas kira-kira 6,000 liter bahan api itu disita di Jalan Sin San, di sini, hari ini.

Rampasan itu membabitkan sebuah lori tangki jenama Nissan dengan nilai keseluruhan diesel dan kenderaan dianggarkan RM125,420.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah dalam kenyataan memaklumkan, kegiatan itu dikesan hasil pemantauan dan risikan sepasukan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum diserahkan kepada KPDN Cawangan Tawau untuk tindakan lanjut.

Menurut kenyataan itu, pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi menyiasat kes berkenaan, termasuk dakwaan penyelewengan diesel bersubsidi menggunakan fleet card.

“Jika sabit kesalahan, individu boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM3 juta bagi kesalahan berikutnya, atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi syarikat pula, denda sehingga RM2 juta boleh dikenakan bagi kesalahan pertama, manakala kesalahan berikutnya boleh membawa denda sehingga RM5 juta,” katanya

KPDN Sabah menegaskan komitmen untuk terus mempergiat penguatkuasaan bagi membanteras penyelewengan barang kawalan, khususnya diesel bersubsidi, demi memastikan bekalan itu tidak disalahgunakan sehingga menjejaskan kepentingan rakyat dan negara.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan boleh menyalurkan aduan melalui portal e-Aduan KPDN di e-aduan.kpdn.gov.my atau menghubungi KPDN Cawangan Tawau menerusi talian 089-776690.

“Aduan turut boleh disalurkan melalui WhatsApp di talian 019-279 4317 atau 019-848 8000,” katanya