KOTA KINABALU: Seramai 100 pegawai dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah menamatkan Kursus Asas PGA Siri 2/2026 selepas menjalani latihan selama hampir tiga bulan bagi memperkukuh kemahiran serta kesiapsiagaan menghadapi cabaran penugasan, khususnya di kawasan sempadan.
Komander Briged Sabah Pasukan Gerakan Am (PGA), SAC Datuk Nor Omar Sappi berkata, kursus yang berlangsung dari 9 Ogos hingga 30 Oktober 2026 itu melibatkan pegawai dan anggota daripada tujuh batalion di bawah Briged PGA Sabah.
Menurutnya, kursus berkenaan merupakan latihan wajib bagi memastikan setiap pegawai dan anggota menguasai kemahiran asas sebelum melaksanakan tugas operasi.
“Antara latihan yang diberikan termasuk kemahiran undang-undang, ikhtiar hidup, penggunaan senjata, tempur, teknik peperangan serta pembinaan ketahanan fizikal dan mental,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penutupan Kursus Asas PGA Siri 2/2026 di Dataran Kawad, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, pada khamis.
Nor Omar berkata, tahap kesiapsiagaan yang tinggi amat penting memandangkan anggota PGA berdepan pelbagai cabaran ketika melaksanakan penugasan di kawasan sempadan, termasuk menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.
Katanya, anggota yang ditempatkan di pos-pos seluruh Sabah, termasuk di kawasan pulau, perlu memiliki ketahanan fizikal dan mental yang mantap selain kemahiran mencukupi untuk menghadapi keadaan persekitaran serta kekangan kemudahan.
“Anggota kita bertugas di pos-pos seluruh Sabah, termasuk di pulau-pulau yang mempunyai cabaran tersendiri, terutama dari segi kemudahan dan keadaan persekitaran.
“Justeru, mereka perlu mempunyai ketahanan fizikal dan mental yang kuat selain kemahiran yang mencukupi sebelum ditempatkan di kawasan penugasan,” katanya.
Beliau memaklumkan Sabah mempunyai 62 pos PGA, dengan 22 daripadanya terletak di pulau-pulau.
Dalam pada itu, beliau menyambut baik peningkatan jumlah penyertaan kursus berkenaan daripada 60 kepada 100 peserta menerusi inisiatif dan kerjasama Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kota Kinabalu.
Menurutnya, sebanyak dua siri kursus dilaksanakan setiap tahun bagi memastikan latihan asas dapat diteruskan untuk memenuhi keperluan pasukan.
Beliau turut berharap silibus latihan dapat ditambah baik dari semasa ke semasa agar selari dengan keperluan operasi dan perkembangan teknologi terkini, termasuk mempertimbangkan penerapan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Beliau juga menegaskan latihan berterusan perlu dilaksanakan selepas anggota kembali ke formasi masing-masing bagi memastikan kemahiran yang diperoleh sepanjang kursus dapat diperkukuh dan dikekalkan.
Katanya, usaha itu penting bagi memastikan setiap anggota sentiasa memiliki tahap kompetensi serta ketahanan fizikal dan mental yang diperlukan untuk melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.
Turut hadir sama, Asisten komisioner Mohd Fauzi Osman dan Superintenden Isqal Kria Abdullah.