KUALA LUMPUR: Ahli-Ahli Parlimen Sabah mendesak Kerajaan Persekutuan mengkaji semula pembatalan tender 13 projek Jalan Luar Bandar (JALB) di negeri ini yang membabitkan peruntukan RM1.716 bilion bagi memastikan pembangunan infrastruktur luar bandar dapat diteruskan demi kesejahteraan rakyat.
Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick, yang mengetuai sidang media kumpulan itu, turut mendesak kerajaan menyalurkan baki peruntukan bagi memulihkan modal pusingan kontraktor tempatan yang terjejas akibat tunggakan bayaran.
Menurut beliau, sebanyak 112 projek JALB di seluruh negara berdepan tunggakan bayaran interim kepada kontraktor serta pampasan tanah berjumlah RM259.503 juta setakat 30 September 2026.
Katanya, Sabah mencatatkan tunggakan tertinggi iaitu RM118.84 juta melibatkan 35 projek.
“Apa yang lebih mengejutkan, Wilayah Sabah mencatatkan tunggakan paling parah iaitu sebanyak RM118.84 juta melibatkan 35 projek,” katanya.
Sidang media itu turut disertai Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau; Ahli Parlimen Kudat, Datuk Verdon Bahanda; Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Mohd Kurniawan Naim Moktar; Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Hajah Siti Aminah Aching; dan Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir.
Ewon berkata, suntikan tambahan yang diumumkan Kementerian Kewangan masih belum mencukupi untuk menampung tunggakan sedia ada yang kritikal.
Beliau berkata, keadaan itu turut menyaksikan pembatalan proses tender bagi 40 projek berskala besar di seluruh negara bernilai RM5.144 bilion, termasuk 13 projek JALB di Sabah dengan peruntukan RM1.716 bilion.
Sementara itu, penangguhan pengeluaran Surat Setuju Terima (SST) membabitkan 87 projek di seluruh negara dengan nilai peruntukan RM8.096 bilion turut memberi kesan kepada Sabah, melibatkan tujuh projek JALB bernilai RM548.85 juta.
“Kami tidak akan berdiam diri dan akan terus mendesak dalam Dewan Parlimen agar hak rakyat luar bandar Sabah tidak dinafikan,” jelasnya.