SIPITANG: Seramai 25 mangsa daripada empat keluarga dipindahkan ke Dewan Mesapol selepas kediaman mereka di Kampung Bebangkong Mesapol, di sini, dilanda banjir awal pagi tadi.
Operasi pemindahan dilakukan sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 5.42 pagi.
Ketua BBP Sipitang, Desmond Anak Mickey berkata, sepasukan enam anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan bot penyelamat dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat berhubung bencana itu.
Menurutnya, pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 5.55 pagi dan mengesahkan kejadian banjir sebelum menjalankan operasi memindahkan semua mangsa ke tempat selamat.
“Seramai 25 mangsa daripada empat keluarga dipindahkan ke Dewan Mesapol menggunakan sebuah bot penyelamat.
“Operasi turut dibantu dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang dipindahkan terdiri daripada lima lelaki dewasa, sembilan wanita dewasa, empat kanak-kanak lelaki, lima kanak-kanak perempuan dan seorang bayi perempuan.
Katanya, operasi pemindahan berkenaan masih dijalankan dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.