HATC di Gunung Kinabalu diluluskan sejak 2015, pelaksanaan ditangguh susulan gempa bumi – Jafry

KOTA KINABALU: Pembangunan Pusat Latihan Altitud Tinggi (HATC) di Gunung Kinabalu merupakan sebahagian daripada inisiatif yang dicadangkan menerusi Pelan Pembangunan Taman Kinabalu pada 2015, namun pelaksanaannya ditangguhkan susulan gempa bumi yang melanda kawasan berkenaan pada tahun sama.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, inisiatif itu kemudiannya dihidupkan semula dan dilancarkan secara rasmi pada 2025 bagi mempelbagaikan penawaran pelancongan Sabah serta memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai destinasi pendakian gunung bertaraf antarabangsa.

Menurutnya, projek itu telah memperoleh kelulusan Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah serta sokongan Majlis Penasihat Adat Anak Negeri Gunung Kinabalu.

“Pembangunan berkenaan melibatkan penyediaan kemudahan penginapan asas bagi menyokong latihan khusus altitud tinggi dan aktiviti pendakian gunung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas aktiviti pembinaan di Gunung Kinabalu yang mendapat perhatian orang ramai selepas gambar berkaitan tersebar di media sosial baru-baru ini.

Katanya, kaedah pembinaan menggunakan bahan binaan ringan, pasang siap dan modular bagi meminimumkan gangguan terhadap persekitaran, selain mengelakkan penggunaan jentera berat.

Beliau berkata, kemudahan itu turut direka bentuk untuk menahan tiupan angin kencang serta keadaan cuaca mencabar di kawasan altitud tinggi.

Kata Jafry, HATC bertujuan menyediakan persekitaran latihan khusus kepada pendaki yang membuat persediaan untuk ekspedisi ke destinasi altitud lebih tinggi termasuk Gunung Kilimanjaro, Aconcagua dan Gunung Everest.

Menurutnya, kemudahan itu juga berpotensi menarik kelab dan organisasi pendakian antarabangsa, sekali gus membuka peluang ekonomi tambahan kepada komuniti tempatan serta industri pelancongan Sabah.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kementerian tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran syarat dan peraturan dalam pelaksanaan pembangunan berkenaan.

Katanya, semua aktiviti pembinaan perlu mematuhi spesifikasi yang diluluskan, keperluan alam sekitar serta undang-undang dan peraturan berkaitan.

“Kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar syarat ditetapkan atau gagal mematuhi undang-undang dan peraturan berkaitan,” tegasnya.

Beliau berkata, kementerian turut mempertimbangkan untuk menjalankan siasatan menyeluruh dengan kerjasama Taman-Taman Sabah dan pihak berkuasa berkaitan bagi mengesahkan semua aktiviti pembinaan dilaksanakan mengikut keperluan ditetapkan.

Jafry berkata, sebarang pembangunan di kawasan berkenaan perlu mengambil kira kepentingan pemuliharaan alam sekitar serta nilai budaya dan kerohanian Gunung Kinabalu kepada masyarakat peribumi.

“Gunung Kinabalu bukan sekadar destinasi pelancongan. Ia merupakan sebahagian penting daripada warisan semula jadi dan budaya Sabah yang mempunyai hubungan erat dengan tradisi, kepercayaan serta identiti masyarakat peribumi kita.

“Peluang ekonomi dan kemajuan pelancongan tidak boleh sesekali mengorbankan warisan budaya kita,” ujar beliau.