Anak jati Keningau, Victor Sanjos dijangka dilantik Pesuruhjaya Polis Negeri Sabah yang baharu

KOTA KINABALU: Anak jati Keningau, Datuk Victor Sanjos dijangka bakal menerajui kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Sabah selepas dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah dengan memangku pangkat Komisioner Polis (CP).

Beliau dijadualkan akan melapor diri dan mengambil alih tugas berkenaan selepas penyandang jawatan itu, Datuk Jauteh Dikun, bersara wajib pada 11 November ini.

Victor dilihat mempunyai pengalaman luas dalam pelbagai bidang kepolisan, termasuk siasatan jenayah komersial, jenayah siber dan keselamatan.

Beliau yang berasal dari Kampung Ranggom, Apin-Apin, Keningau itu berketurunan Dusun Kujau dan memiliki Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dengan Kepujian dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Sepanjang lebih 28 tahun berkhidmat dalam PDRM, beliau pernah memegang beberapa jawatan penting termasuk Timbalan Pengarah (Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman serta Timbalan Ketua Polis Kelantan.

Victor turut mencatat sejarah sebagai anak Sabah pertama yang diberi kepercayaan menerajui usaha penubuhan Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Unit Forensik Komputer di Bukit Aman pada 1997.

Pengalaman beliau di Sabah turut merangkumi perkhidmatan di Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) sebagai Timbalan Ketua Staf Pasukan Siasatan Khas/Teknikal dari 2015 hingga 2019.

Beliau kemudian dilantik sebagai Komander ESSCOM pada 2023 sebelum diberikan tanggungjawab baharu menerajui IPK Sabah.

Pelantikan itu dijangka meletakkan beliau di barisan hadapan dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di Sabah terus terpelihara, selain memperkukuh usaha membanteras jenayah rentas sempadan serta ancaman keselamatan khususnya di pantai timur negeri ini.