‘Polis palsu’ samun warga asing, dua lelaki dipenjara 10 tahun, lima sebatan

LAHAD DATU: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan lima sebatan terhadap dua lelaki yang mengaku bersalah melakukan samun berkumpulan selepas salah seorang daripada mereka menyamar sebagai anggota polis.

Hukuman itu diputuskan Hakim Suhailla Selag selepas kedua-dua tertuduh, Azwan Ibnu, 31, dan Francisco V Dagalea, 32, mengaku bersalah melakukan samun terhadap seorang lelaki warga asing sehingga menyebabkan mangsa menyerahkan wang RM1,050.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman terhadap kedua-dua tertuduh berkuatkuasa dari tarikh mereka ditangkap.

Terdahulu, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman diringankan atas alasan mempunyai tanggungan keluarga serta menyesali perbuatan mereka.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Shearil Aizad Murnizam memohon hukuman berat dengan mengambil kira kepentingan awam serta keseriusan kesalahan samun yang boleh mengancam keselamatan masyarakat.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku ketika mangsa sedang berehat sambil bermain telefon bimbit di kaki lima rumahnya di Batu 8, Jalan Silam, di sini, kira-kira 8.30 malam, 18 Oktober lalu.

Mangsa didatangi dua lelaki tidak dikenali sebelum salah seorang daripada mereka, iaitu Francisco, memperkenalkan diri sebagai anggota polis sebelum bertindak menggari tangan mangsa.

Kedua-dua lelaki itu kemudian meminta wang RM1,500 sebagai syarat untuk melepaskan mangsa, dengan mendakwa mangsa terbabit dalam beberapa kes jenayah berkaitan dadah.

Bapa mangsa yang bimbang anaknya dibawa ke balai polis, kemudiannya menyerahkan keseluruhan wang simpanannya sebanyak RM1,050 kepada kedua-dua lelaki berkenaan sebelum mangsa dilepaskan.

Siasatan polis mendapati Azwan turut berada di lokasi kejadian dan menunggu di dalam kereta, manakala Francisco bersama seorang lagi lelaki yang masih bebas masuk ke rumah mangsa untuk melakukan perbuatan berkenaan.

Kedua-dua tertuduh kemudian ditangkap pada 22 Oktober lalu hasil kawad cam yang dijalankan pihak polis susulan laporan di buat mangsa.