Tawar khidmat seks RM700 kepada polis menyamar, wanita China dipenjara lima bulan

TAWAU: Seorang wanita warga China yang menawarkan khidmat seks kepada anggota polis yang menyamar sebagai pelanggan dihukum penjara lima bulan dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Zhang Hong, 31, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa mahkamah.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin turut memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 4 November.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencari langganan bagi maksud persundalan dengan menawarkan perkhidmatan seks kepada seorang lelaki di sebuah pusat terapi di sini, kira-kira jam 10.05 malam, kelmarin.

Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu tertuduh yang tidak diwakili peguam itu merayu supaya hukuman diringankan, dan memaklumkan dia adalah ibu tunggal dan mempunyai seorang anak perempuan berusia sembilan tahun yang bersekolah di wilayah Zhejiang, China.

Katanya, anak perempuannya kini dijaga oleh neneknya.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Jeffrey Kadisun memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh.

Mahkamah kemudiannya turut membenarkan permohonan pendakwaan supaya barang kes dilupuskan, wang tunai RM700 yang dirampas dilucut hak kepada kerajaan melalui Perbendaharaan serta tertuduh dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan lanjut sebaik selesai menjalani hukuman.

Semalam, portal ini melaporkan seorang wanita warga China ditahan dalam serbuan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di sebuah premis terapi selepas seorang anggota polis menyamar sebagai pelanggan.

Dalam operasi kira-kira jam 10.05 malam itu, wanita berkenaan didakwa menawarkan khidmat seks dengan bayaran RM700 bagi sekali perkhidmatan.

-tamat-

Caption : Tertuduh, Zhang Hong, 31, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa mahkamah. Foto | SS.