RANAU: Timbalan Ketua Menteri II Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun menyifatkan pengiktirafan Ladang Kopi Kampung Toboh Lama oleh The Malaysia Book of Records (MBR) sebagai “Ladang Kopi Altitud Tertinggi” sebagai bukti kemampuan petani tempatan menghasilkan kopi berkualiti dan bernilai komersial.
Beliau berkata, kejayaan itu bukan sekadar mengharumkan nama Ranau di peringkat negara, malah membuka peluang lebih luas untuk membangunkan industri kopi premium yang mampu meningkatkan pendapatan penduduk setempat.
Menurutnya, petani di Ranau perlu melihat industri kopi sebagai peluang keusahawanan yang merangkumi keseluruhan rantaian nilai, termasuk penanaman, pemprosesan, pemanggangan, pembungkusan dan pemasaran.
“Petani kita tidak harus melihat diri mereka sekadar sebagai pengeluar hasil ladang, tetapi sebagai
usahawan yang mempunyai tempat dalam rantaian industri kopi premium,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran The Malaysia Book of Records (MBR) ‘Highest Altitude Coffee Plantation’ 2026 di Kampung Toboh Lama, di sini.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, potensi industri kopi tempatan amat besar memandangkan pasaran kopi domestik dianggarkan bernilai RM4.4 bilion dengan lebih 6,400 kafe di seluruh negara.
Malah, kopi specialty dari Ranau dilaporkan berpotensi dipasarkan pada harga antara RM50 hingga RM65 bagi pek seberat 250 gram, sekali gus menunjukkan peluang ekonomi yang boleh dimanfaatkan oleh pengusaha tempatan.
Beliau turut menggariskan tiga peluang utama untuk memperkukuh industri kopi Ranau, iaitu meningkatkan pengeluaran dan pembangunan rantaian nilai, melahirkan lebih ramai agropreneur muda serta menghubungkan industri kopi dengan sektor pelancongan melalui cadangan pembangunan “Coffee Trail Ranau”.
Katanya, inisiatif Coffee Trail Ranau berpotensi menjadi tarikan baharu pelancongan apabila pengunjung berpeluang melawat ladang kopi tanah tinggi, menyaksikan proses pengeluaran serta menikmati kopi keluaran tempatan.
Sehubungan itu, beliau mahu Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) Sabah bersama Jabatan Pertanian menyediakan pelan tindakan pembangunan industri kopi Ranau sejajar dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
“Antara keutamaan yang perlu diberikan perhatian termasuk penyediaan kemudahan pascatuai, latihan, mekanisasi, penyelidikan bagi mengekalkan mutu kopi serta memperluas jaringan pemasaran,” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan turut menekankan kepentingan membimbing pengusaha memenuhi piawaian pensijilan seperti myGAP atau myOrganic bagi meningkatkan keyakinan pasaran dan membuka peluang menembusi pasaran premium, termasuk antarabangsa.
“Kejayaan sebenar bukan hanya apabila nama Ranau tercatat dalam buku rekod, tetapi apabila pengiktirafan tersebut mampu meningkatkan pendapatan petani, membuka peluang pekerjaan kepada golongan muda dan membawa kesejahteraan kepada masyarakat setempat,” tambah beliau.
Pada majlis sama, beliau turut menyempurnakan perasmian Dewan Serbaguna Kampung Toboh Lama yang diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk aktiviti belia, kebudayaan, sukan dan program kemasyarakatan.
Oleh yang demikian, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pertanian Sabah, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), panel MBR serta seluruh komuniti Kampung Toboh Lama atas kerjasama dan komitmen menjayakan pengiktirafan berkenaan.