67 PATI termasuk empat warga Pakistan diusir pulang

TAWAU: Seramai 67 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk empat warga Pakistan dihantar pulang ke negara asal masing-masing menerusi program pemindahan tahanan yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, sejak semalam.

Daripada jumlah itu, seramai 63 PATI warga Indonesia dipindahkan pulang melalui Pelabuhan Tawau ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia, menggunakan feri komersial, hari ini.

Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk Sitti Saleha Habib Yussof, berkata pemindahan itu membabitkan 59 lelaki dewasa, tiga wanita dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan dari Depot Imigresen Sandakan.

Beliau berkata, empat lagi tahanan lelaki dewasa warga Pakistan dari Depot Imigresen Papar dihantar pulang melalui laluan udara, semalam.

“Mereka dibawa dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum meneruskan perjalanan ke Lahore, Pakistan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, sepanjang minggu ini, JIM Sabah melaksanakan empat program pemindahan tahanan PATI, termasuk pemindahan berskala besar membabitkan warga Filipina dan Indonesia, semalam.

Katanya, keseluruhan 976 tahanan PATI berjaya dipindahkan ke negara asal masing-masing sepanjang minggu ini.

“Sehingga hari ini, jumlah keseluruhan tahanan PATI yang sudah dipindahkan ke negara asal ialah 8,472 orang.

“Daripada jumlah itu, seramai 6,165 adalah warga Filipina, Indonesia (1,959), Pakistan (143), China (142), Vietnam (29) dan 34 lagi membabitkan warga negara lain,” katanya.

Sitti Saleha berkata, semua tahanan terbabit sudah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang dan memiliki dokumen perjalanan sah termasuk Surat Perjalanan Laksana Pasport (SPLP) bagi membolehkan proses penghantaran pulang dilaksanakan.

Dalam pada itu, beliau menggesa majikan menyertai program pendataan digital warga asing yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Sabah bagi memastikan keberadaan pekerja asing, khususnya dalam sektor perladangan, direkod dan diurus secara sistematik.

Katanya, inisiatif itu dijangka membantu menangani isu dokumentasi serta lambakan PATI di negeri ini.

Beliau turut memberi amaran bahawa JIM Sabah tidak akan berkompromi terhadap majikan yang melindungi pekerja asing tanpa permit atau dokumen sah.

“Majikan yang didapati bersubahat atau melindungi PATI boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63, termasuk denda sehingga RM50,000, penjara dan sebatan,” katanya.