KOTA KINABALU: Belanjawan Sabah 2027 dijangka menghampiri RM8 bilion buat kali pertama dalam sejarah negeri ini, sekiranya kerajaan negeri menerima bayaran tambahan RM900 juta yang masih dalam proses untuk disalurkan.
Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, jumlah berkenaan berpotensi menjadikan belanjawan negeri tahun depan antara yang terbesar, selaras dengan perancangan kerajaan untuk meningkatkan peruntukan pembangunan.
Bagaimanapun, beliau berkata, penyediaan belanjawan perlu mengambil kira kemampuan hasil negeri bagi memastikan perbelanjaan yang dirancang seimbang dengan pendapatan kerajaan.
“Belanjawan Sabah 2027 dijangka lebih besar dan lebih baik berbanding tahun sebelumnya, dengan peruntukan besar terus diberikan kepada sektor bekalan air, elektrik dan jalan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Sambutan Hari Deepavali peringakat negeri Sabah yang berlangsung di sebuah resort, di sini, pada Ahad.
Mengulas lanjut mengenai bayaran RM900 juta itu, beliau berkata, proses penyalurannya masih berjalan bagi memenuhi beberapa prasyarat berkaitan perakaunan, pengurusan dan pentadbiran.
Beliau bagaimanapun berharap setiap peruntukan yang disediakan dapat dilaksanakan dengan berkesan, selain memastikan setiap ringgit dibelanjakan digunakan secara optimum.
Beliau berkata, antara keutamaan kerajaan negeri adalah memperuntukkan dana bagi menaik taraf bekalan air dan elektrik, memandangkan kedua-dua sektor itu masih memerlukan perhatian serta pelaksanaan projek secara berperingkat.
Katanya, penyelesaian terhadap isu infrastruktur berkenaan tidak dapat dilaksanakan dalam tempoh singkat kerana sesetengah projek memerlukan masa sehingga tiga tahun untuk disiapkan.
Menurutnya, kejayaan sesebuah belanjawan bukan hanya bergantung kepada jumlah peruntukan, sebaliknya turut ditentukan oleh keupayaan pihak yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan projek dan program yang dirancang.