Kerajaan perhalusi cadangan lesen platform e-dagang, lindungi pengguna dan peniaga tempatan – Armizan

PUTRAJAYA: Kerajaan sedang memperhalusi cadangan memperkenalkan rejim pelesenan bagi pengendali platform e-dagang, termasuk platform dari luar negara yang menawarkan perkhidmatan kepada pengguna di Malaysia, menerusi penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) e-Dagang.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, cadangan itu antara perkara utama yang diberi perhatian dalam usaha memperkukuh kerangka perundangan bagi mengawal selia ekosistem perdagangan elektronik negara.

“Melalui penggubalan RUU e-Dagang ini, antara perkara utama yang diberi perhatian ialah cadangan memperkenalkan rejim pelesenan bagi pengendali platform e-dagang, termasuk platform yang beroperasi dari luar negara tetapi menawarkan perkhidmatan kepada pengguna di Malaysia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, langkah berkenaan bertujuan memperkukuh akauntabiliti platform, memastikan pematuhan terhadap undang-undang negara serta mewujudkan ekosistem e-dagang yang lebih selamat, telus dan bertanggungjawab.

“Cadangan kawal selia ini akan diperhalusi dengan mengambil kira bidang kuasa kementerian dan agensi berkaitan serta keperluan pelaksanaan yang bersesuaian,” ujarnya.

Armizan berkata, penggubalan RUU berkenaan bertujuan mewujudkan kerangka perundangan lebih komprehensif, seiring perkembangan pesat ekonomi digital serta cabaran transaksi dalam talian yang semakin kompleks.

Beliau berkata, penggubalan rang undang-undang itu berteraskan empat fokus utama, iaitu perlindungan pengguna, penetapan tanggungjawab pengendali platform, penjual dan pengguna, mekanisme penyelesaian pertikaian yang efisien serta keselarasan dengan undang-undang model antarabangsa.

Katanya, kerajaan turut memberi penekanan kepada perlindungan kepentingan peniaga tempatan supaya mereka dapat bersaing secara adil dalam pasaran digital.

“Kerajaan mahu memastikan semua pihak, termasuk platform dan penjual dari luar negara, tertakluk kepada tahap tanggungjawab dan pematuhan yang sewajarnya,” katanya.

Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu bagi Penggubalan RUU e-Dagang itu diadakan susulan persetujuan Jemaah Menteri pada 8 Julai 2026 terhadap Cadangan Ketetapan Dasar bagi Penggubalan Perundangan Baharu Berkaitan e-Dagang.

Penggubalan RUU itu turut menyusuli komitmen kerajaan untuk memperkenalkannya yang diumumkan Perdana Menteri ketika pembentangan Belanjawan 2027.