KOTA KINABALU: Sejumlah RM950.78 juta pembiayaan telah disalurkan kepada 44,059 usahawan dan koperasi di Sabah sehingga September tahun ini menerusi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta agensi-agensinya, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, jumlah itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperluas akses pembiayaan serta menyokong pertumbuhan dan daya saing perniagaan tempatan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Katanya, kerajaan negeri menyambut baik pendekatan KUSKOP melalui aspirasi Hebatkan Perniagaan Malaysia (HPM) yang memberi penekanan kepada pembangunan usahawan secara menyeluruh, bukan sekadar menyediakan pembiayaan.
“Usahawan bukan sahaja memerlukan pembiayaan, tetapi juga latihan, teknologi, peningkatan produktiviti, proses permohonan yang lebih mudah serta akses kepada pasaran yang lebih luas.
“Kita mahu melihat lebih ramai usahawan dan syarikat tempatan di Sabah bergerak ke hadapan, menjadi lebih digital, produktif dan inovatif, di samping memperluas akses pasaran ke peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya pada perasmian Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia Peringkat Negeri Sabah 2026 di Lintasan Deasoka di sini hari ini.
Ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawan dan Pengangkutan Datuk Ewon Benedick.
Hajiji berkata, usaha memperkukuh ekosistem keusahawan ini selari dengan hala tuju Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030 yang memberi tumpuan kepada peningkatan daya saing, produktiviti dan nilai tambah ekonomi negeri.
Beliau berkata, kerajaan negeri turut menghargai komitmen KUSKOP dalam melaksanakan reformasi birokrasi, memudahkan prosedur serta memendekkan tempoh pemprosesan permohonan bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada usahawan.
“Pendekatan seperti inilah yang kita mahu lihat terus diperkukuh, iaitu lebih banyak masa usahawan digunakan untuk membina perniagaan dan mencari pelanggan, dan kurang masa dihabiskan untuk berurusan dengan proses yang boleh dipermudahkan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan negeri bersedia untuk terus bekerjasama dengan KUSKOP dan agensi-agensinya bagi memastikan program Kerajaan Persekutuan dapat dipadankan dengan keperluan ekosistem perniagaan di Sabah.
Hajiji turut menyambut baik pengumuman Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi perhatian khusus kepada pembangunan PMKS, terutama melalui peningkatan akses pembiayaan dan pengurangan kos menjalankan perniagaan.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri sepanjang tahun ini terus memberikan tumpuan kepada usaha memperkukuh pembangunan usahawan tempatan, antaranya menerusi Program Bantuan SME-UP bagi meningkatkan kapasiti, produktiviti dan daya saing perusahaan tempatan.
Katanya, kerajaan negeri turut membuka lebih banyak peluang kepada produk tempatan menembusi pasaran baharu, khususnya dalam sektor makanan dan minuman, pertanian, pelancongan, kraftangan serta produk berasaskan sumber tempatan.
“Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri turut memperkukuh pembangunan usahawan berasaskan inovasi dan teknologi, selain program pemerkasaan produk desa dan pembangunan kemahiran.
“Inisiatif ini memberi peluang kepada lebih ramai usahawan, khususnya golongan belia dan masyarakat luar bandar, meningkatkan kemahiran, menambah nilai produk serta meneroka peluang ekonomi baharu,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan perlu terus diperkukuh supaya lebih ramai usahawan Sabah bukan sahaja mampu bertahan, tetapi turut meningkatkan skala perniagaan dan muncul sebagai peneraju perniagaan tempatan atau local champions.
Hajiji turut menyeru usahawan Sabah supaya merebut peluang yang disediakan menerusi Karnival HPM, termasuk konsultasi pembiayaan, latihan digital dan padanan perniagaan yang ditawarkan agensi KUSKOP serta rakan strategik negeri.
“Janganlah kita berpuas hati dengan pasaran sedia ada. Tingkatkan kualiti pembungkusan, penjenamaan dan ketekalan produk agar berdaya saing tinggi,” katanya.
Beliau yakin kerjasama erat antara kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan, institusi kewangan, sektor swasta dan komuniti perniagaan mampu mewujudkan ekosistem yang membolehkan lebih banyak perusahaan tempatan berkembang dan menembusi pasaran global.