KOTA KINABALU: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menegaskan pihaknya tidak pernah melantik mana-mana agen, orang tengah atau pihak ketiga untuk menguruskan sebarang urusan rasmi bagi pihak jabatan itu.
JPN dalam kenyataannya memaklumkan, semua pemohon perlu hadir sendiri ke pejabat JPN bagi mendapatkan perkhidmatan dan menyelesaikan urusan berkaitan.
Menurutnya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan individu atau pihak yang menawarkan bantuan dengan mengenakan bayaran tidak munasabah.
“JPN tidak pernah memberi kuasa kepada mana-mana agen atau orang tengah untuk bertindak bagi pihak jabatan.
“Sehubungan itu, orang ramai diminta sentiasa berurusan melalui saluran rasmi JPN dan mendapatkan maklumat yang sah daripada platform rasmi jabatan,” katanya.
JPN berkata, langkah itu penting bagi mengelakkan orang ramai menjadi mangsa penipuan yang semakin berleluasa.
Katanya, masyarakat juga diingatkan supaya lebih berhati-hati terhadap tawaran perkhidmatan yang menjanjikan urusan lebih cepat atau mudah dengan bayaran tertentu kerana ia boleh mendatangkan kerugian.
“Sebarang maklumat berkaitan perkhidmatan JPN hendaklah diperoleh menerusi saluran rasmi jabatan bagi memastikan urusan dilakukan mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya.
