Bapa ditahan disyaki rogol anak kandung berusia 13 tahun

RANAU: Seorang lelaki berusia 34 tahun ditahan polis selepas disyaki merogol anak kandungnya yang berusia 13 tahun di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Ranau, Superintenden Mursalin Mahmud berkata, suspek yang berstatus pemastautin tetap itu ditahan malam tadi bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Menurutnya, pihak polis menerima laporan daripada ibu saudara mangsa yang mendakwa remaja perempuan itu dirogol oleh bapa kandungnya sendiri.

Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa berada di rumah bersama suspek, manakala ibu tirinya berada di Labuan.

“Suspek ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mursalin berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi melengkapkan siasatan dan memastikan tindakan sewajarnya diambil mengikut undang-undang.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau di talian 088-875222 bagi membantu siasatan.

“Identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya.