Dua maut selepas kereta dihempap kontena di Sepanggar

KOTA KINABALU: Dua individu maut selepas kereta Toyota Avanza dinaiki mereka dihempap kontena yang terjatuh bersama sebuah lori treler di Jalan Pelabuhan Sepanggar Bay, di sini, hari ini.

Mangsa masing-masing ialah lelaki berusia 53 tahun yang memandu kenderaan itu dan penumpang wanita berusia 24 tahun.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Mohd Hannis Mokthar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.31 petang.

Menurutnya, seramai 26 anggota bomba dikerahkan ke lokasi dan tiba pada jam 7.01 malam.

“Sebaik tiba, pasukan mendapati kemalangan membabitkan sebuah lori treler bersama kontena dan kereta Toyota Avanza.

“Berdasarkan keterangan saksi, lori treler berkenaan sedang menjalankan kerja menaikkan kontena yang berada di tepi jalan utama ke atas treler sebelum kenderaan berat itu bersama kontena terbalik lalu menghempap kereta yang sedang melalui jalan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pasukan bomba kemudian menjalankan operasi menyelamat bagi mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit di dalam kereta.

Bagaimanapun, katanya, operasi berkenaan memerlukan bantuan kren daripada syarikat lori terbabit bagi mengangkat kontena yang menghempap kenderaan mangsa.

Beliau berkata, dua kren tiba di lokasi pada jam 9.21 malam sebelum operasi mengangkat kontena dilakukan bagi membolehkan pasukan penyelamat mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas.

“Kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan, namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, operasi melibatkan BBP Kota Kinabalu itu turut mendapat bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.30 malam selepas pihak bomba memastikan keadaan di lokasi selamat dan tiada bahaya lain,” katanya