285 PATI warga Filipina dihantar pulang melalui Lahad Datu

TAWAU: Seramai 285 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dipindahkan pulang ke negara asal melalui Pelabuhan ICQS Lahad Datu ke Pelabuhan Bongao, Filipina, semalam.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, Datuk Sitti Saleha Habib Yussof berkata, pemindahan menggunakan perkhidmatan feri komersial itu membabitkan tahanan dari Depot Imigresen Kota Kinabalu dan Depot Imigresen Papar.

Menurutnya, jumlah berkenaan terdiri daripada 129 lelaki dewasa, 71 wanita dewasa, 40 kanak-kanak lelaki dan 45 kanak-kanak perempuan berusia antara empat bulan hingga 63 tahun.

Beliau berkata, kanak-kanak yang mengikuti program pemindahan itu turut diiringi ibu bapa atau pengiring masing-masing.

“Semua tahanan berkenaan sudah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang ditetapkan serta mempunyai dokumen perjalanan yang sah bagi membolehkan mereka mengikuti proses pemindahan ke negara asal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum itu, pada 20 Oktober lalu, JIM Sabah turut melaksanakan pemindahan dua lelaki dewasa warga China dari Depot Imigresen Kota Kinabalu ke Guangzhou, China, melalui laluan udara menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Sitti Saleha berkata, sehingga kini, seramai 6,417 tahanan PATI pelbagai warganegara sudah dipindahkan ke negara asal masing-masing.

“Daripada jumlah itu, seramai 4,288 orang adalah warga Filipina, diikuti Indonesia (1,789), China (141), Pakistan (137), Vietnam (29) dan lain-lain negara (33),” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai supaya tidak bersekongkol melindungi atau menggaji PATI serta meningkatkan kepekaan terhadap persekitaran komuniti masing-masing.

Katanya, orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan PATI kepada JIM Sabah melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di https://spab.gov.my atau Sistem Pertanyaan Online (SPO) di https://eapp.imi.gov.my.