KOLUMNIS | Jangan kelirukan peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada Sabah

Kebelakangan ini kita mendengar pelbagai dakwaan daripada pembangkang kononnya Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan peruntukan yang begitu besar kepada Sabah, tetapi kemajuan Sabah belum dapat dilihat sepenuhnya.

Soalan seperti ini memang wajar ditanya. Kerajaan Negeri Sabah juga berhak bertanya. Malah, Kerajaan Negeri teraju GRS mempunyai tanggungjawab untuk memastikan setiap peruntukan yang diumumkan untuk Sabah benar-benar diterjemahkan kepada pembangunan dan manfaat kepada rakyat.

Tetapi dalam masa yang sama, janganlah rakyat dikelirukan dengan angka yang besar tanpa melihat apa sebenarnya yang berlaku disebalik angka tersebut.

Apabila disebut sesuatu projek bernilai berbilion ringgit, ia tidak bermaksud wang berbilion itu telah pun dibelanjakan dalam satu tahun.

Ada perbezaan antara nilai keseluruhan projek, peruntukan tahunan, jumlah yang disalurkan dan perbelanjaan sebenar.

Lebih penting, tanggungjawab pelaksanaan sesuatu projek perlu dilihat berdasarkan siapa yang memegang kuasa pada setiap peringkat projek, bukan semata-mata berdasarkan jumlah keseluruhan yang diumumkan.

Lihat sahaja isu Bekalan Air Luar Bandar (BALB). Bagi 2026, terdapat 83 projek BALB di Sabah dengan kos keseluruhan sekitar RM4.065 bilion, tetapi peruntukan bagi tahun tersebut ialah RM143 juta.

Maknanya, RM4.065 bilion bukanlah wang yang telah dibelanjakan dalam satu tahun. Ia merupakan nilai keseluruhan projek yang pelaksanaannya dibuat mengikut tempoh dan kemajuan projek.

Bagi 83 projek BALB ini, kuasa pelaksanaan telah diserahkan kepada Kerajaan Negeri Sabah pada April 2026. Namun, nilai keseluruhan RM4.065 bilion tetap tidak bermaksud RM4.065 bilion telah disalurkan atau dibelanjakan pada tahun 2026.

Malah, sebahagian projek masih berada pada peringkat pra-pelaksanaan, manakala sebahagian yang lain sedang dalam pembinaan atau telah siap.

Jadi apabila ada pihak mengambil angka RM4 bilion lalu bertanya, “Ke mana duit itu pergi?”, rakyat perlu diberikan gambaran yang sebenar.

Kalau projek belum berjalan, kita perlu tahu mengapa. Kalau berlaku kelewatan, kita perlu tahu puncanya. Kalau terdapat masalah pelaksanaan, ia perlu diselesaikan.

Tanggungjawab pelaksanaan juga perlu dilihat berdasarkan siapa yang memegang kuasa pada setiap peringkat projek. Yang penting, jangan hanya melihat angka keseluruhan projek seolah-olah keseluruhan jumlah tersebut telah dibayar atau dibelanjakan dalam satu masa.

Kalau projek belum berjalan, rakyat berhak mengetahui statusnya. Kalau berlaku kelewatan, puncanya perlu dikenal pasti. Kalau peruntukan tidak mencukupi, perkara itu perlu dibawa untuk penyelesaian.

Kalau logiknya ialah “Kerajaan Persekutuan sudah beri berbilion, jadi kenapa masalah Sabah masih ada?”, persoalan itu juga perlu dilihat dalam konteks tempoh pelaksanaan projek.

Pembangunan negeri tidak semudah itu. Projek mempunyai tempoh perancangan dan pelaksanaan yang berbeza. Ada projek yang mengambil masa bertahun-tahun untuk dilaksanakan. Ada yang perlu distruktur semula dan ada yang berdepan isu tanah, perolehan, reka bentuk, kelulusan, pelantikan perunding, kontraktor serta penyelarasan antara agensi.

Malah, Kerajaan Persekutuan sendiri mengakui sebahagian projek BALB berdepan kelewatan sejak RMK-11.

Jadi apabila hari ini sesuatu projek belum selesai, kita perlu melihat keseluruhan rekod pelaksanaannya, bila ia diluluskan, bila kontrak diberikan, apa puncanya jika berlaku kelewatan dan siapa yang bertanggungjawab pada setiap peringkat.

Rekod masa lalu perlu dilihat sebagai konteks, bukan alasan. Pentadbiran hari ini tetap mempunyai tanggungjawab untuk memastikan projek yang telah diluluskan bergerak dan memberi hasil kepada rakyat.

Mari kita lihat pula rekod peruntukan pembangunan luar bandar sebelum ini.

Antara pemimpin yang hari ini lantang bercakap mengenai peruntukan pembangunan Sabah ialah mereka yang pernah mempunyai kuasa dan tanggungjawab secara langsung di peringkat Persekutuan.

Antaranya pemimpin yang pernah menerajui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Dalam rekod Parlimen, beliau menyatakan pada 2014 bahawa KKLW telah memperuntukkan RM11.1 bilion untuk projek prasarana di Sabah sejak RMK-8, dan Sabah merupakan penerima peruntukan kedua tertinggi selepas Sarawak dalam konteks peruntukan KKLW yang dinyatakan ketika itu.

Dalam satu lagi rekod Parlimen, bagi tempoh 2010 hingga 2016, sebanyak RM8.01 bilion telah diluluskan untuk tiga kategori utama pembangunan luar bandar Sabah iaitu RM3 bilion untuk Bekalan Elektrik Luar Bandar, RM2.08 bilion untuk Bekalan Air Luar Bandar dan RM2.93 bilion untuk Jalan Luar Bandar. Jumlah itu melibatkan ratusan projek di seluruh Sabah.

Jadi kita boleh bertanya dengan soalan yang sangat mudah. Kalau peruntukan berbilion-bilion secara automatik menyelesaikan masalah Sabah, mengapa setelah begitu banyak peruntukan disediakan pada tempoh tersebut, masih banyak masalah asas yang perlu diselesaikan sehingga hari ini?

Soalan ini bukan untuk menafikan peruntukan yang pernah diberikan. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa jumlah peruntukan semata-mata bukan ukuran tunggal kejayaan pembangunan. Yang lebih penting ialah pelaksanaan.

Sebab itu Kerajaan Negeri teraju GRS terus menuntut hasil, bukan sekadar angka. Kerajaan tidak mengatakan Kerajaan Persekutuan tidak memberikan peruntukan. Sebaliknya, pendirian kerajaan jelas, kalau sudah diperuntukkan, mesti dilaksanakan. Kalau projek sudah diluluskan, pastikan ia bergerak.

Kalau lambat, cari puncanya. Kalau peruntukan tidak mencukupi, tambah. Kalau masalah pelaksanaan berlaku di peringkat agensi Persekutuan atau Kerajaan Negeri, selesaikan mengikut bidang tanggungjawab masing-masing. Dan kalau sesuatu projek memerlukan penyelarasan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, duduk bersama dan cari jalan.

Kerana Kerajaan Negeri bukan mahu sekadar melihat angka besar dalam dokumen belanjawan. Kerajaan mahu melihat hasilnya di lapangan.

Apa pun, pendirian Kerajaan Negeri teraju GRS jelas. Kerajaan mahu setiap peruntukan Kerajaan Persekutuan yang disediakan untuk Sabah benar-benar digunakan dan dimaksimumkan untuk kepentingan rakyat.

Kerajaan Negeri bukan hanya mahu melihat angka besar di atas kertas, tetapi mahu melihat peruntukan itu diterjemahkan kepada projek yang siap, kemudahan yang berfungsi dan penyelesaian yang benar-benar dirasai rakyat.

Sebab itu Kerajaan Negeri GRS akan terus memperjuangkan supaya isu asas rakyat Sabah diberi perhatian serius. Kerajaan tidak menolak peruntukan, malah kerajaan mahu lebih banyak peruntukan disalurkan dan yang telah diluluskan pula dipastikan pelaksanaannya.

Rakyat Sabah tidak perlukan angka semata-mata, rakyat perlukan hasil. Dan itulah yang akan terus kita tuntut dan perjuangkan bersama.

Datuk Azrul Bin Ibrahim
Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah