MATUNGGONG: Pelancongan berasaskan kebudayaan berpotensi menjana ekonomi komuniti, khususnya di kawasan luar bandar, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, kepelbagaian seni dan budaya etnik Sabah ialah aset bernilai yang menarik pelancong dari dalam dan luar negara.
“Kerajaan Negeri komited untuk memartabatkan kebudayaan sebagai pemacu industri pelancongan tempatan, selaras dengan agenda ekonomi di bawah Hala Tuju Sabah
Maju Jaya (SMJ)”, katanya pada Majlis Perasmian Pesta Gong Peringkat Negeri Sabah 2026 di Dewan Terbuka Pekan Baru Matunggong, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong, Datuk Julita Majungki.
Hajiji berkata, Kampung Sumangkap di Matunggong terkenal dengan seni pembuatan gong tradisional, manakala kemahiran dan ketekunan pengusaha tempatan membuktikan khazanah budaya dapat terus berkembang apabila dipelihara dengan bersungguh-sungguh.
“Oleh itu, kita perlu memastikan Kampung Sumangkap kekal sebagai pusat perusahaan pembuatan gong. Saya menyeru para pembuat gong dan semua pihak dalam rantaian industri alat muzik tradisional agar terus berinovasi.
“Kekalkan keunikan warisan, sambil meneroka reka cipta moden yang memenuhi cita rasa semasa dan berpotensi menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan usaha itu memerlukan sokongan pelbagai pihak terhadap masyarakat setempat dalam memelihara seni pembuatan gong, manakala penglibatan golongan muda amat penting agar kemahiran itu dapat dipelajari dan diwariskan.
Katanya, Pesta Gong bukan sekadar acara kebudayaan, sebaliknya platform untuk mengangkat khazanah tradisional Sabah, memperkenalkan keunikan budaya masyarakatnya serta memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang bangsa dan agama.
“Sejak turun-temurun, irama gong mengiringi upacara adat dan perayaan hasil tuaian, di samping menyatukan masyarakat daripada pelbagai latar belakang,” katanya.
Beliau berkata, penganjuran pesta itu merupakan usaha penting untuk memelihara dan memartabatkan seni gong agar tidak luput ditelan zaman, selain membolehkan generasi muda mengenali, mempelajari dan menghargai warisan budaya mereka.
Katanya, usaha itu selaras dengan tema Pesta Gong tahun ini, “Gema Gong, Semarak Budaya”, yang melambangkan warisan, kebanggaan dan identiti masyarakat serta menyeru rakyat mengekalkan tradisi, menghargai kepelbagaian dan mewariskan khazanah itu kepada generasi akan datang.
Hajiji berkata, Pesta Gong, seperti perayaan etnik yang lain, mengingatkan rakyat bahawa perpaduan dalam kepelbagaian ialah tunjang kekuatan Sabah, selain terus menyemarakkan kebudayaan, mengukuhkan perpaduan dan memperkenalkan keunikan Sabah.
“Marilah kita bersama-sama memastikan gema gong Matunggong terus berkumandang sebagai lambang khazanah, kebanggaan dan kesinambungan budaya masyarakat kita,” katanya.