Kerajaan buka ruang permohonan tuntutan bayaran balik tunai diesel SKDS mulai 1 Julai ini

KOTA KINABALU: Kerajaan bersetuju membenarkan syarikat pengangkutan darat awam dan barangan yang belum menerima fleet card Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) membuat tuntutan bayaran balik tunai diesel mulai 1 Julai ini bagi memastikan mereka terus menikmati manfaat subsidi yang disediakan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata tuntutan bayaran balik itu membolehkan syarikat yang layak menuntut semula perbezaan harga diesel yang dibeli pada harga runcit tanpa subsidi dengan harga diesel bersubsidi SKDS sementara menunggu fleet card diterima daripada syarikat minyak.

Menurutnya, kemudahan itu disediakan susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan yang akan berkuat kuasa pada tarikh berkenaan.

“Kerajaan mengambil maklum bahawa proses pengeluaran dan penghantaran fleet card oleh syarikat minyak lazimnya mengambil masa antara dua hingga tiga minggu bergantung kepada proses semakan dan pengurusan dalaman syarikat masing-masing.

“Sehubungan itu, kerajaan bersetuju membuka ruang untuk permohonan tuntutan bayaran balik tunai diesel di bawah SKDS mulai 1 Julai 2026,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, penggunaan fleet card di bawah SKDS diwajibkan bagi sektor pengangkutan darat awam dan pengangkutan darat barangan yang layak di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Menerusi mekanisme itu, sektor pengangkutan darat awam akan terus menikmati diesel bersubsidi pada harga RM1.88 seliter, manakala sektor pengangkutan darat barangan pada harga RM2.15 seliter.

Beliau berkata syarikat yang ingin membuat tuntutan bayaran balik perlu mengemukakan bukti telah mendaftar di bawah SKDS dan memohon fleet card sebelum atau pada 30 Jun 2026.

Katanya, tuntutan hanya melibatkan pembelian diesel bagi tempoh antara 1 Julai hingga 31 Julai 2026 atau sehingga tarikh fleet card diterima, yang mana lebih awal.

“Semua tuntutan perlu disertakan dengan resit pembelian diesel dan dimuat naik melalui portal MySubsidi.

“Bayaran balik akan dikreditkan ke dalam akaun bank syarikat oleh Kementerian Kewangan dalam tempoh 15 hari bekerja selepas proses semakan selesai,” ujarnya.

Beliau turut menggesa semua syarikat pengangkutan darat awam dan barangan yang layak di Sabah, Sarawak dan Labuan supaya segera mendaftar di bawah SKDS dan mengemukakan permohonan fleet card bagi mempercepatkan proses kelulusan serta memastikan mereka terus menikmati diesel bersubsidi.

Armizan menambah sehingga 22 Jun lalu, sebanyak 4,062 syarikat melibatkan 14,750 kenderaan di Sabah telah berdaftar di bawah SKDS.

Di Sarawak pula, sebanyak 4,108 syarikat melibatkan 15,030 kenderaan telah mendaftar, manakala Labuan merekodkan 275 syarikat dengan 777 kenderaan.

Secara keseluruhan, sebanyak 8,445 syarikat melibatkan 30,557 kenderaan telah berdaftar untuk menikmati manfaat subsidi diesel melalui sistem berkenaan.