KPDN perkasa eCOSS, kekang ketirisan dan manipulasi minyak masak bersubsidi

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperkenalkan beberapa langkah penambahbaikan baharu dalam pengurusan Skim Penstabilan Minyak Masak (COSS) bagi memastikan subsidi minyak masak sampai kepada golongan sasar serta mengurangkan ketirisan.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, langkah itu dilaksanakan secara berperingkat sejak 2023 dan diperkukuh susulan syor Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung pengurusan kawalan harga dan subsidi minyak masak yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 16 Julai lalu.

Beliau berkata, antara penambahbaikan utama ialah pelaksanaan Sistem eCOSS yang merekodkan secara digital pengurusan kuota, transaksi jualan dan tuntutan subsidi di sepanjang rantaian bekalan, bermula daripada kilang penapisan sehingga ke peringkat peruncit.

“Fasa kedua pelaksanaan eCOSS pula memperkenalkan aplikasi mudah alih yang membolehkan transaksi jual beli antara peruncit dan pengguna direkodkan di kaunter, sekali gus meningkatkan ketelusan serta mengurangkan risiko penyelewengan.

“Pada masa hadapan, sistem ini akan diperkukuh dengan penggunaan kod QR pada kad pengenalan baharu bagi mengesahkan identiti pembeli, sekali gus memastikan pembelian minyak masak bersubsidi hanya dinikmati oleh rakyat yang layak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Armizan berkata KPDN turut melaksanakan beberapa langkah lain termasuk melarang penjualan minyak masak peket satu kilogram kepada bukan warganegara bermula 1 Mac lalu, menetapkan prosedur pengurusan minyak masak rosak atau sisa, serta mengintegrasikan Sistem eCOSS dengan Sistem Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Katanya, kementerian juga memperkukuh pemantauan melalui audit rekod, verifikasi tuntutan subsidi, pemeriksaan berkala serta penyelarasan penguatkuasaan bersama agensi berkaitan menerusi Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan Bagi Membanteras Ketirisan dan Penyeludupan (JTPAP) serta Ops Tiris 4.0 Bersepadu.

Tambah beliau, mekanisme pengedaran minyak masak bersubsidi turut diperkemas melalui pelaksanaan sistem pengezonan, dengan KPDN kini menetapkan 50 peratus agihan kepada pemborong dan peruncit bagi memastikan bekalan diagihkan secara lebih seimbang.

“KPDN komited untuk terus menambah baik pengurusan COSS dengan mengambil kira hasil naziran dalaman, laporan Jabatan Audit Negara dan syor PAC.

“Ini termasuk ketegasan penguatkuasaan terhadap syarikat kilang penapis, syarikat pembungkus, pemborong, peruncit dan mana-mana pihak yang didapati bertindak bertentangan dengan undang-undang yang berkuat kuasa. Ini amat penting untuk memastikan bantuan subsidi yang melibatkan jumlah
peruntukan besar ini dapat benar-benar dimanfaatkan oleh rakyat secara bersasar,” tambahnya.