Biasiswa Yayasan Sabah pembakar semangat Wafa jadi doktor pakar

KOTA KINABALU: Biasiswa Cemerlang Kumpulan Yayasan Sabah bukan sekadar meringankan beban kewangan, malah menjadi pembakar semangat buat anak jati Tawau, Wafa Wardhani Rahmat, 18, untuk merealisasikan impian bergelar doktor pakar.

Wafa berkata, kepercayaan dan peluang yang diberikan Kerajaan Negeri Sabah serta Kumpulan Yayasan Sabah menjadi satu amanah untuk dimanfaatkan sebaik mungkin demi mencapai kecemerlangan akademik.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah dan Kumpulan Yayasan Sabah atas kepercayaan yang diberikan kepada saya melalui Biasiswa Cemerlang ini.

“Biasiswa ini bukan sekadar membantu dari segi pembiayaan pendidikan, malah menjadi motivasi untuk saya terus berusaha bersungguh-sungguh sehingga berjaya mencapai cita-cita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah Siri Ke-37, baru-baru ini.

Wafa yang kini mengikuti pengajian Asasi Perubatan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, beliau berhasrat kembali ke Sabah selepas menamatkan pengajian bagi menyumbang kepakaran kepada masyarakat, khususnya di hospital kerajaan.

Katanya, peluang melanjutkan pengajian menerusi tajaan berkenaan juga mahu dibalas dengan pencapaian terbaik selain berbakti kepada negeri pada masa hadapan.

“Saya berharap lebih ramai anak-anak Sabah akan menerima manfaat daripada program seperti ini supaya mereka dapat mengejar cita-cita dan membina masa depan yang lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu, Wafa yang memperoleh keputusan cemerlang 9A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berkata, kejayaan berkenaan tidak akan dicapai tanpa doa, pengorbanan dan sokongan tidak berbelah bahagi daripada kedua-dua ibu bapanya.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, dorongan keluarga menjadi sumber kekuatan untuk terus berusaha sehingga berjaya memperoleh keputusan cemerlang sekali gus melayakkannya menerima Biasiswa Cemerlang Kumpulan Yayasan Sabah.

Berkongsi tip kejayaan, Wafa menasihatkan pelajar supaya mengurus masa dengan baik, menyediakan jadual pembelajaran secara sistematik dan mengamalkan budaya mengulang kaji lebih awal sebagai persediaan menghadapi peperiksaan.

“Manfaatkanlah peluang yang diberikan sebaik mungkin kerana pendidikan merupakan kunci untuk membina masa depan.

“Saya berharap lebih ramai anak Sabah akan berjaya dan kembali menyumbang kepada pembangunan negeri,” katanya.