TAWAU: Persembahan seni, muzik tradisional, tarian dan adat resam 32 etnik tempatan perlu terus diperkasa bagi menjadikan Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) lebih gah dan menarik pada penganjuran tahun hadapan.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, penambahbaikan berterusan penting bagi memastikan festival berkenaan bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya menjadi platform memperkenalkan keunikan budaya Tawau kepada pelancong dalam dan luar negara.
Menurutnya, setiap etnik mempunyai keunikan tersendiri yang boleh diketengahkan menerusi persembahan lebih kreatif dan interaktif.
“Sudah pasti kita berharap pada masa akan datang persembahan ini akan terus diperbaiki dengan menampilkan budaya dari segi kesenian, muzik, tarian, kepahlawanan, adat perkahwinan dan sebagainya.
“Kita harap festival ini pada masa akan datang dapat mempersembahkan budaya dengan lebih baik dan menjadi tarikan kepada pelancong luar untuk datang ke Tawau,” katanya ketika ditemui selepas melawat 32 gerai pameran etnik sempena FKAT ke-11 di sini. Turut hadir, isterinya, Datin Wahida Mardiana Norsalim.
Nizam berkata, komitmen setiap suku kaum memperkenalkan warisan masing-masing membuktikan masyarakat Tawau bangga dengan identiti dan budaya yang diwarisi sejak turun-temurun.
Katanya, lebih membanggakan apabila kepelbagaian etnik tidak menjadi penghalang kepada masyarakat untuk hidup dalam suasana harmoni, saling menghormati dan bekerjasama.
“Walaupun kita terdiri daripada pelbagai suku kaum, kemesraan yang ditunjukkan amat terserlah dan ini adalah satu keunikan serta kelebihan kepada masyarakat di Tawau.
“Penganjuran festival seperti ini dapat merapatkan lagi silaturahim dan memperkenalkan budaya suku kaum di Tawau kepada masyarakat luar,” katanya.
Dalam pada itu, Nizam berkata, penyertaan lima negara pada FKAT kali ini iaitu Uzbekistan, Kazakhstan, Kemboja, Indonesia dan Sri Lanka turut memberi suntikan baharu kepada festival berkenaan.
Beliau berkata, kehadiran delegasi antarabangsa bukan sahaja memperkayakan pengisian festival, malah berpotensi menjadikan FKAT sebagai antara produk pelancongan budaya yang mampu menarik lebih ramai pengunjung ke Tawau.
“Ini sudah pasti menjadi satu tarikan kepada festival dan boleh menjadi tarikan pelancongan supaya masyarakat luar mengenali Tawau dan seterusnya datang berkunjung ke sini,” katanya.
Sementara itu, Nizam berkata sambutan orang ramai terhadap FKAT 2026 amat menggalakkan berdasarkan kehadiran masyarakat tempatan dan pelancong luar yang mula memenuhi kawasan festival.
Beliau yakin acara kemuncak pada 1 Ogos ini mampu menarik puluhan ribu pengunjung untuk bersama-sama meraikan kepelbagaian budaya yang menjadi identiti Tawau.
FKAT 2026 memasuki edisi ke-11 dan dianjurkan Majlis Perbandaran Tawau (MPT), dengan acara kemuncak dijadual disempurnakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.