KOTA KINABALU: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah mengumumkan penutupan serta-merta sebuah jambatan di Kilometer (KM) 2.850, Jalan Tun Fuad Stephen bermula jam 12 tengah hari ini selepas pemeriksaan mendapati berlaku kerosakan struktur yang serius pada lantai konkrit jambatan berkenaan.
JKR Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan itu diambil sebagai langkah keselamatan bagi melindungi pengguna jalan raya daripada sebarang risiko yang boleh mengancam nyawa.
“Penutupan ini hanya melibatkan laluan dari Bandaraya Kota Kinabalu menuju ke Teluk Likas, manakala laluan lain masih boleh digunakan seperti biasa,” katanya.

Menurutnya, laluan berkenaan akan dibuka semula selepas kerja pembinaan lencongan sementara siap dilaksanakan bagi memastikan aliran trafik dapat diteruskan dengan selamat.
“Orang awam dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan laluan alternatif sepanjang tempoh penutupan jambatan ini,” tambahnya.
JKR Sabah turut memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami pengguna jalan raya berikutan penutupan tersebut.