KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh agenda pembangunan melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 sebagai kesinambungan usaha membina sebuah negeri yang lebih maju, berdaya saing dan sejahtera Beliau berkata ini selaras dengan aspirasi yang terkandung dalam tema Hari Kebangsaan tahun ini iaitu “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati.”
“Hala tuju ini memberi penekanan kepada pembangunan ekonomi yang mampan, pemerkasaan modal insan, peningkatan produktiviti, pengukuhan daya saing, penerapan inovasi dan teknologi serta pembangunan yang inklusif agar manfaatnya dapat dirasai oleh seluruh rakyat Sabah,” katanya pada majlis pelancaran Bulan Kebangsaan Sabah dan Kempen Kibar Bendera di Menara Kinabalu hari ini.
Ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri II/Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

Datuk Seri Panglima Masidi Manjun bersama barisan menteri Kabinet Negeri melepaskan konvoi “Kembara Merdeka” di hadapan Menara Kinabalu hari ini.
“Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh pelbagai inisiatif yang menyentuh kehidupan rakyat, termasuk dalam aspek pendidikan, kebajikan, perumahan, kesihatan, pembangunan luar bandar, pemerkasaan wanita dan belia serta penyediaan kemudahan asas yang lebih berkualiti.
“Saya yakin bahawa dengan semangat kebersamaan, tadbir urus yang berintegriti, kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan serta sokongan padu seluruh rakyat, kita mampu membawa Sabah melangkah lebih jauh sebagai sebuah negeri yang lebih maju dan sejahtera.
“Kerana pada akhirnya, ukuran sebenar kejayaan sesebuah kerajaan bukanlah pada apa yang berjaya dibina, tetapi pada sejauh mana rakyat menikmati hasil pembangunan tersebut,” katanya.
Hajiji berkata pelancaran Bulan Kebangsaan Hari Sabah dan Kempen Kibar Bendera pada hari ini bukan sekadar satu acara, tetapi ianya harus diraikan dengan semangat patriotisme yang membara.
“Marilah kita bersama-sama menghayati erti kemerdekaan yang sebenar. Kemerdekaan bukan hanya sekadar bebas daripada penjajahan, tetapi juga bebas daripada belenggu kemiskinan dan perpecahan. Kemerdekaan adalah anugerah yang perlu kita hargai dan pertahankan,” katanya.
Hajiji turut berkata dalam era digital ini rakyat mempunyai ruang yang lebih luas untuk menyuarakan pandangan dan mengikuti perkembangan pembangunan negeri.
“Kerajaan Negeri menghargai setiap pandangan dan teguran sebagai tanda keprihatinan rakyat terhadap masa depan Sabah.
“Namun, setiap pandangan hendaklah disampaikan secara bertanggungjawab, berlandaskan fakta yang sahih serta dengan niat untuk membina, bukannya memecahbelahkan.
“Manfaatkanlah kemudahan teknologi dengan bijaksana untuk menyebarkan maklumat yang tepat, memupuk persefahaman dan memperkukuh perpaduan,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Menteri meminta semua untuk mengibarkan bendera kebangsaan di setiap sudut negeri ini dengan penuh semangat.
“Semoga seluruh rakyat akan terus bersatu padu, bekerjasama, dan saling membantu antara satu sama lain, demi masa depan Sabah yang lebih cemerlang.
“Marilah kita menjadikan sambutan pada tahun ini sebagai titik tolak untuk memperbaharui iltizam dalam membina sebuah Sabah yang lebih maju dan sejahtera,”
katanya.