Masidi seru semangat hijrah jadi pemangkin transformasi diri, umum anugerah pelajar cemerlang Ranau

RANAU: Timbalan Ketua Menteri II Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun menyeru masyarakat agar menjadikan semangat Maal Hijrah sebagai pemangkin kepada transformasi diri menerusi perubahan sikap, anjakan minda dan usaha berterusan ke arah kecemerlangan.

Beliau berkata, penghayatan terhadap peristiwa Hijrah tidak seharusnya terhad kepada memperingati sejarah semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan dalam kehidupan seharian dengan sentiasa berusaha memperbaiki diri, meningkatkan ilmu, memperkukuh ekonomi keluarga serta mempertingkatkan amalan ibadah.

“Kejayaan dalam bidang pendidikan merupakan antara contoh terbaik bagaimana ia mampu mengubah masa depan seseorang,” katanya ketika merasmikan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Daerah Ranau di Dewan Masyarakat Ranau, pada Jumaat.

Turut hadir Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yassin; Pegawai Daerah Ranau, Tinus Manggam; serta tetamu kehormat yang lain.

Masidi turut menzahirkan kebanggaan terhadap pencapaian Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ranau yang muncul sebagai MRSM terbaik di Sabah dan Sarawak serta antara yang terbaik di Malaysia berdasarkan keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Kejayaan pelajar Sabah yang menerima Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) serta tajaan lain, termasuk penerima dari Ranau baru-baru ini, membuktikan anak-anak negeri mempunyai potensi besar untuk mencapai kecemerlangan,” jelasnya.

Beliau turut menggesa pelajar di daerah berkenaan agar terus berusaha meningkatkan prestasi akademik supaya mampu bersaing dan mencatat pencapaian yang lebih membanggakan.

Sebagai galakan kepada pelajar, Masidi mengumumkan bahawa Anugerah Pelajar Cemerlang SPM, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) akan diperkenalkan mulai Sambutan Maal Hijrah tahun hadapan bagi mengiktiraf pencapaian cemerlang pelajar dari Ranau.

“Pengiktirafan itu diharap dapat menjadi pemangkin kepada lebih ramai pelajar untuk berusaha mencapai kecemerlangan akademik serta memberi inspirasi kepada pelajar lain yang bakal menduduki peperiksaan berkenaan di daerah ini,” tambah beliau.

Beliau berharap semangat Hijrah terus menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk membina kehidupan yang lebih maju, berilmu, harmoni, berintegriti dan berakhlak mulia.