KOTA KINABALU: Politeknik Kota Kinabalu (PKK) bakal menjadi pusat latihan bertauliah pertama di Sabah yang menawarkan Pensijilan Reka Bentuk Sistem Off-Grid Photovoltaic menerusi penubuhan Solar Training Excellence Center, sekali gus memperkukuh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pembangunan tenaga boleh baharu di negeri ini.
Inisiatif itu direalisasikan menerusi Majlis Menandatangani Sijil Kolaborasi Projek Pembangunan Pusat Latihan dan Penyelidikan Tenaga Boleh Baharu serta Penyerahan Alat Suis (switchgear) dan Alat Ubah (transformer) bagi tujuan latihan dan pengajaran yang berlangsung di Dewan Rafflesia, Politeknik Kota Kinabalu, di sini.
Timbalan Pengarah Bahagian Kolaborasi Industri dan Komuniti Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Asnizah Sahekhaini berkata, inisiatif tersebut berjaya merapatkan jurang antara pembelajaran di bilik kuliah dengan keperluan sebenar industri.
“Inisiatif ini sekali gus mengangkat Politeknik Kota Kinabalu sebagai hab rujukan latihan teknikal dan teknologi hijau di wilayah Borneo,” katanya dalam satu kenyataan.
Majlis itu turut disaksikan Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga) Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Puan Mareena Mahpudz, bersama wakil Kementerian Kewangan Malaysia, Technology Depository Agency Berhad dan Pasukan Projek Khas Bekalan Elektrik Sabah.
Sementara itu, wakil Unimekar Sdn. Bhd., Adwa Dzafira Arimi, kejayaan sesebuah projek bukan hanya diukur melalui pembangunan fizikal, malah perlu meninggalkan legasi menerusi pemindahan teknologi, pembangunan kepakaran tempatan dan penyediaan kemudahan latihan kepada generasi akan datang.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Unimekar Sdn. Bhd., Datuk Dr. Kok Tiong Chee turut menyerahkan peralatan elektrik voltan tinggi industri berupa alat suis dan alat ubah yang diubah suai kepada Politeknik Kota Kinabalu dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi memperkukuh latihan praktikal pelajar.
“Peralatan bersaiz 11kV dan 33kV yang menggunakan reka bentuk keratan rentas (cutaway) itu membolehkan pelajar serta pensyarah memahami struktur dalaman, fungsi teknikal dan operasi sebenar sistem elektrik dalam persekitaran pembelajaran yang lebih selamat,” katanya.
Program berkenaan dilaksanakan di bawah kerangka Program Kolaborasi Industri (ICP) bagi Projek Pencawang Masuk Utama (PMU) Beaufort dengan pemantauan Technology Depository Agency Berhad, yang menghimpunkan kerjasama strategik antara kerajaan dan industri bagi memperkasa pembangunan modal insan serta pemindahan teknologi.
Menerusi program itu, Solar Training Excellence Center bernilai RM156,000 ditubuhkan bagi membolehkan PKK menawarkan pensijilan yang diiktiraf oleh Lembaga Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) dan Suruhanjaya Tenaga Sabah, dengan kapasiti latihan seramai 15 peserta bagi setiap sesi.